Malaysia kini menerajui usaha menubuhkan World Halal Development Council (WHDC), atau Majlis Pembangunan Halal Dunia, sebagai platform baharu global untuk menyelaras perdagangan, pelaburan dan inovasi dalam ekonomi halal, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, berkata WHDC akan bermula dengan keanggotaan kecil tetapi strategik, dengan fokus untuk mempercepat pembinaan kapasiti, penyelidikan dan pembangunan, serta memberikan impak ekonomi yang nyata.
“Majlis ini akan membina sebuah gabungan yang dinamik serta berorientasikan pasaran,” katanya, menurut laporan Bernama.
Dalam pada itu, Zahid turut mengumumkan cadangan Halal+ 2030, satu gerakan global untuk mengintegrasikan halal dengan trend alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta pemerkasaan halal digital melalui kecerdasan buatan (AI), blockchain dan Internet of Things (IoT) demi ketelusan penuh rantaian bekalan.
“Halal+ 2030 adalah jemputan untuk anda membawa kepakaran, pelaburan dan idea, agar halal bukan sahaja diperakui, malah dihormati,” katanya.
Beliau menekankan keperluan kerjasama segera dalam beberapa bidang utama, antaranya memperluaskan laluan pensijilan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar lebih cepat dan mudah, selain memperbanyakkan badan pensijilan yang diiktiraf serta bergerak ke arah pengiktirafan bersama secara rasmi di peringkat antarabangsa.
Katanya, usaha itu penting agar produk halal menjadi lancar untuk pengeksport dan pengguna di seluruh dunia.
Zahid menambah, kedua-dua cadangan ini – WHDC dan Halal+ 2030 – membuktikan bahawa ekonomi halal bukan sekadar pasaran dan keuntungan, sebaliknya merangkumi diplomasi, pengaruh dan kepimpinan.
“Malaysia mahu menunjukkan bahawa sebuah negara Islam mampu menegakkan prinsip Syariah sambil menghayati realiti ekonomi global moden. Selama ini, halal telah menjadi bentuk kuasa lembut terkuat Malaysia, membina kredibiliti serta kepercayaan di mata dunia,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa ekonomi halal global kini bernilai lebih USD3 trilion dan dijangka meningkat kepada USD5 trilion menjelang 2030, meliputi makanan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan, logistik, kewangan dan ekonomi digital.
Malaysia, katanya, sudahpun menjadikan halal sebagai tonggak penting ekonomi, menyumbang 7.5 peratus kepada KDNK dengan unjuran meningkat ke 11 peratus menjelang 2030. Tahun lalu sahaja, eksport halal Malaysia mencecah USD13.1 bilion, naik 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.