Dari dron hingga kapal perang, sistem peluru berpandu dan jet pejuang generasi kelima, Turkiye muncul sebagai pembekal baharu dalam landskap pertahanan Asia Tenggara — dan Malaysia kini menjadi antara negara yang semakin erat bekerjasama dengan Ankara, lapor Channel News Asia.
Program Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2 Malaysia sedang giat dilaksanakan dengan tiga kapal baharu berasaskan reka bentuk korvet kelas Ada dibina di Turkiye.
Projek kerjasama antara kerajaan ini dikendalikan syarikat pertahanan STM Turkiye, lengkap dengan integrasi subsistem seperti meriam Aselsan SMASH 30mm dan peluru berpandu anti-kapal Roketsan Atmaca.
Selain itu, Malaysia juga memperoleh dron ANKA-S MALE yang dijangka ditempatkan di Labuan, berhampiran Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin pada Julai lalu menegaskan bahawa pemindahan teknologi daripada Turkiye adalah sasaran utama menjelang akhir 2024, merangkumi bidang penyelenggaraan senjata laut dan operasi pesawat tanpa pemandu.
Penganalisis menilai faktor kos lebih rendah, tawaran teknologi bersama serta hubungan politik yang akrab antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai antara pemacu utama.
Menurut pakar pertahanan Universiti Malaya, Lam Choong Wah, “unsur kepercayaan politik dan identiti agama yang sama turut mengukuhkan kerjasama jangka panjang.”
Walaupun begitu, cabaran tetap wujud. Malaysia memiliki inventori pertahanan yang pelbagai – daripada sistem Barat, Rusia hingga China – dan pengenalan platform baharu Turkiye boleh menimbulkan isu keserasian.
Tambahan pula, banyak komponen kritikal senjata Turkiye masih bergantung kepada pembekal dari AS dan Eropah.
Selain Malaysia, Indonesia menandatangani kontrak besar dengan Turkiye termasuk pesanan 48 jet pejuang KAAN dan sistem peluru berpandu KHAN, manakala Filipina telah menerima enam helikopter serangan T129 ATAK.
Namun, pakar menekankan bahawa kejayaan sebenar kerjasama ini bergantung pada keupayaan jangka panjang untuk mengoperasi dan menyelenggara aset tersebut.
Bagi Malaysia, kerjasama dengan Turkiye bukan sekadar soal pembelian, tetapi strategi memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan.
Ia menandakan usaha negara untuk menyeimbangkan hubungan dengan kuasa tradisional sambil membuka ruang baharu dalam diplomasi pertahanan.