ASIA
2 min membaca
Malaysia akan guna platform ASEAN untuk sampaikan mesej solidariti dengan Palestin kepada Trump
Perdana Menteri Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Isnin, untuk membincangkan isu serangan Israel ke atas Doha dan kempen genosid yang berlaku di Gaza.
Malaysia akan guna platform ASEAN untuk sampaikan mesej solidariti dengan Palestin kepada Trump
Anwar Ibrahim semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha. Foto: Pejabat Perdana Menteri Malaysia. / User Upload
16 September 2025

Dalam pertemuan penting dengan Presiden Donald Trump di Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, Malaysia akan menyampaikan pendirian teguhnya mengenai isu Gaza serta mengutuk serangan Israel ke atas Qatar, lapor Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebagai Pengerusi ASEAN untuk 2025, Malaysia beriltizam menjadikan suara solidariti dengan Palestin sebagai agenda serantau untuk perhatian pemimpin global.

“Kita akan mendesak Presiden Trump memahami posisi Malaysia yang jelas dan tidak berkompromi dalam menuntut keadilan untuk Gaza dan Palestin,” ujar Anwar pada sidang media semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Isnin.

Kehadiran Perdana Menteri di sidang kemuncak atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani itu membuktikan kesatuan umat Islam dan Arab dalam mengutuk keganasan Israel serta menyatakan sokongan padu terhadap Qatar.

Dalam ucapannya pada sidang kemuncak tersebut, Anwar menyeru dilaksanakan tindakan tegas terhadap Israel yang terus menindas rakyat Palestin dan melanggar undang-undang antarabangsa. Beliau menekankan keperluan masyarakat dunia, khususnya negara Arab, untuk memutuskan semua hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.

“Kenyataan dan seruan tidak memadai; ia mesti disusuli dengan tindakan tegas dan muktamad. Putuskan hubungan diplomatik, hentikan urusan perdagangan, dan gunakan semua pengaruh diplomatik terutama dengan negara rapat AS agar keputusan selaras dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan,” tegasnya.

Anwar menekankan bahawa isu yang dibangkitkan sudah melangkaui Gaza dan Palestin, dengan serangan Israel turut membabitkan Qatar, Syria, Iraq, Iran dan Lubnan – membuktikan sifat kerakusan dan keangkuhan rejim Zionis yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Perdana Menteri menekankan, isu yang dibangkitkan pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam ini bukan anya membabitkan Gaza dan Palestin, malah turut melibatkan beberapa negara lain yang menjadi sasaran Israel.

“Pertama, persoalan Gaza dan Palestin yang terus diserang dengan kejam. Kedua, ia membabitkan banyak negara seperti Qatar, Syria, Iraq, Iran, dan Lubnan. Ini menunjukkan dalam dunia hari ini, tidak pernah wujud kerakusan dan keangkuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Perdana Menteri.

SUMBER:TRT World and Agencies