Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul semakin hampir membentuk kerajaan baharu selepas beberapa minggu ketidaktentuan politik yang menyaksikan gabungan minoriti berjaya menyingkirkan dominasi politik keluarga Shinawatra, lapor Bloomberg.
Beliau mengesahkan senarai penuh barisan Kabinet pertamanya telah dimuktamadkan dan akan dihantar untuk diperkenankan Raja pada Selasa.
Anutin, yang dipilih Parlimen hampir dua minggu lalu sebagai perdana menteri ketiga dalam tempoh dua tahun, berkata beberapa jawatan utama telah pun diumumkan, antaranya Ekniti Nitithanprapas sebagai menteri kewangan. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Dusit Thani, Suphajee Suthumpun, pula dinamakan sebagai menteri perdagangan manakala bekas ketua eksekutif gergasi tenaga PTT, Auttapol Rerkpiboon, akan mengetuai portfolio tenaga. Diplomat berpengalaman, Sihasak Phuangketkeow, dipilih sebagai menteri luar.
Selepas diperkenankan Raja Maha Vajiralongkorn, anggota Kabinet baharu akan mengangkat sumpah sebelum Anutin membentangkan pernyataan dasar di Parlimen.
Langkah ini akan memulakan kiraan tempoh empat bulan sebelum beliau membubarkan Dewan Rakyat dan mengadakan pilihan raya baharu, seperti yang dipersetujui dengan Parti Rakyat yang berhaluan reformis.
Anutin, yang mengetuai Parti Bhumjaithai berhaluan konservatif, mengambil alih jawatan daripada Paetongtarn Shinawatra yang disingkirkan Mahkamah Perlembagaan bulan lalu atas dakwaan salah laku etika berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Gabungan beliau kini disokong parti konservatif dan pro-tentera, manakala Pheu Thai pimpinan Paetongtarn beralih menjadi pembangkang.
Fokus kerajaan baharu ini adalah untuk menangani isu ekonomi termasuk kos sara hidup yang tinggi serta hutang isi rumah yang semakin membebankan.
Anutin turut menekankan keazaman untuk menyelesaikan pertikaian sempadan Thai-Kemboja secara aman, sambil memastikan kedaulatan negara tidak terjejas.
Pelantikan Kabinet yang sarat dengan tokoh teknokrat dilihat meningkatkan keyakinan pelabur, selepas ketidakstabilan politik menimbulkan keraguan terhadap hala tuju dasar negara.
Namun, pakar ekonomi berpandangan tempoh yang singkat dan status pentadbiran sebagai kerajaan minoriti mungkin mengehadkan keupayaan Anutin untuk memberi tumpuan penuh kepada agenda ekonomi.