ASIA
2 min membaca
Malaysia, Kemboja, AS, China sokong gencatan senjata melalui acara Angkor Kun Khmer
Acara yang mengetengahkan seni mempertahankan diri tradisional Kun Khmer ini diadakan bagi menyokong pelaksanaan gencatan senjata kekal antara Kemboja dan Thailand
Malaysia, Kemboja, AS, China sokong gencatan senjata melalui acara Angkor Kun Khmer
FOTO FAIL: Pertandingan itu menyaksikan lima peninju dari AS, empat dari Malaysia termasuk seorang wanita, serta tujuh peninju dari China. / AFP
16 September 2025

Kemboja, selaku tuan rumah, bergabung dengan delegasi sukan dari Amerika Syarikat, China dan Malaysia untuk menganjurkan acara persahabatan antarabangsa “Krud Kun Khmer: Land of Peace” di Taman Arkeologi Angkor yang bersejarah, lapor The Phnom Penh Post.

Acara yang mengetengahkan seni mempertahankan diri tradisional Kun Khmer ini diadakan bagi menyokong pelaksanaan gencatan senjata kekal antara Kemboja dan Thailand, selain mempromosikan sukan kebanggaan tersebut serta pelancongan Kemboja ke mata dunia.

Pertandingan itu menyaksikan lima peninju dari AS, empat dari Malaysia termasuk seorang wanita, serta tujuh peninju dari China yang berentap dengan jaguh tempatan pada 13 dan 14 September.

Presiden Persekutuan Tinju Khmer (KBF), Khov Chhay berkata penganjuran di tapak suci Angkor membawa makna besar kerana di situlah seni mempertahankan diri purba Khmer berkembang pada era empayar Angkor.

“Relief di kuil-kuil Angkor membuktikan asal usul Kun Khmer yang digunakan raja-raja Angkor untuk mempertahankan tanah air. Kini ia berkembang menjadi sukan yang dikenali dunia,” katanya.

Beliau menegaskan acara ini juga tanda penghargaan kepada AS, Malaysia dan China atas sokongan mereka terhadap usaha gencatan senjata di sempadan Kemboja–Thailand.

Wakil dari Malaysia, AS dan China turut menyuarakan sokongan padu terhadap keamanan serantau sambil menekankan potensi acara seperti ini dalam mengukuhkan persahabatan, memperkenalkan budaya serta menarik lebih ramai pelancong ke Kemboja.