ASIA
2 min membaca
Singapura meterai perjanjian kredit karbon dengan Vietnam
Dengan perjanjian ini, Singapura kini boleh membeli kredit karbon yang sah dari sembilan negara untuk mengimbangi sebahagian daripada pelepasan gas rumah hijau.
Singapura meterai perjanjian kredit karbon dengan Vietnam
FOTO FAIL: Perjanjian perdagangan karbon antara Singapura dan Vietnam dimeterai secara maya pada 16 September. / AFP
17 September 2025

Vietnam kini menjadi negara Asia Tenggara kedua selepas Thailand yang memeterai perjanjian perdagangan karbon dengan Singapura, sekali gus memperluas pasaran kredit karbon Republik itu di rantau ini, lapor The Straits Times.

Dengan perjanjian ini, Singapura kini boleh membeli kredit karbon yang sah dari sembilan negara untuk mengimbangi sebahagian daripada pelepasan gas rumah hijau.

Perjanjian pelaksanaan tersebut ditandatangani secara maya pada 16 September oleh Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Grace Fu, serta Pemangku Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Vietnam, Tran Duc Thang.

Antara negara lain yang telah menandatangani perjanjian seumpama ini dengan Singapura termasuk Bhutan, Chile, Ghana, Papua New Guinea, Peru, Paraguay, Rwanda dan Thailand.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI), Singapura komited untuk menyalurkan lima peratus daripada hasil transaksi kredit karbon kepada usaha membantu Vietnam menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Singapura juga bersetuju membatalkan dua peratus kredit karbon yang dibenarkan pada terbitan pertama, sebagai langkah memastikan pengurangan pelepasan global tidak sekadar dialihkan ke tempat lain.

Grace Fu menegaskan bahawa perjanjian ini membuka peluang baharu dalam peralihan kepada ekonomi rendah karbon serta memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran iklim.

Sementara itu, Tran Duc Thang menyifatkan kerjasama ini sebagai “titik perubahan” yang mampu membuka peluang pembiayaan iklim dalam bidang tenaga bersih dan pertanian pintar lestari, serta menarik pelaburan syarikat Singapura ke Vietnam.

Pakar akademik, Prof Madya Daniel Lee dari Nanyang Technological University, berkata kejayaan memuktamadkan perjanjian ini menambah momentum kerjasama serantau.

Beliau yakin lebih banyak perjanjian akan dimeterai di Asia Tenggara, sekali gus mewujudkan ekosistem serantau bagi menyokong tindakan lebih berkesan dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

MTI menambah, projek karbon di bawah perjanjian ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan lestari tetapi juga memberi manfaat kepada komuniti tempatan, termasuk penciptaan pekerjaan, peningkatan akses kepada air bersih, keselamatan tenaga yang lebih baik serta pengurangan pencemaran alam sekitar.