Peneraju penyelesaian kecerdasan buatan (AI) China, Runjian Co Ltd, memuji sokongan kerajaan Malaysia terhadap inisiatif kecerdasan buatan (AI) serta pelaburannya dalam dua pusat data yang dikendalikannya di negara ini, lapor Bernama.
Naib Presidennya, Athena Zhao, berkata Runjian terlibat dalam pembinaan dua pusat data di Johor Bahru dan Cyberjaya. "Kami menyediakan perkhidmatan pusat data untuk syarikat ternama, termasuk YTL Corporation," katanya kepada peserta Pusat Komunikasi Akhbar Antarabangsa China (CIPCC) Asia Pasifik yang mengunjungi ibu pejabat Runjian di sini pada Selasa.
Zhao berkata Runjian kini menumpukan perhatian kepada ASEAN atas sebab geografi. Beliau menambah bahawa ASEAN penuh dengan tenaga, terutamanya Malaysia, yang telah menjadi tumpuan pelaburan asing. Berbanding dengan negara lain, iklim pelaburan Malaysia lebih mesra, katanya.
Runjian telah menubuhkan anak syarikat di Malaysia, Filipina, Indonesia, dan Thailand, katanya. Mereka menumpukan pada tenaga boleh diperbaharui, pusat data dan aplikasi AI, menyediakan penyelesaian setempat untuk pelanggan ASEAN. Perniagaan luar negara Runjian berkembang pesat, menurut Zhao.
Semasa taklimat kepada peserta CIPCC, beliau berkata dua universiti di Malaysia yang bekerjasama dengan Runjian dalam penyelidikan industri-universiti ialah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Malaysia kini menjadi peneraju di kalangan anggota ASEAN dalam pelan induk Pusat inovasi Kolaborattif Kepintaran Buatan China-ASEAN, menurut China-ASEAN Artificial Intelligence Collaborative Innovation Centre (CAAIC).