Jawatankuasa Penerbangan Awam Thailand mengumumkan peraturan baharu berkaitan hak penumpang penerbangan domestik dan antarabangsa yang akan berkuat kuasa mulai 20 November 2025, lapor The Nation.
Peraturan No. 101 ini memperkukuhkan perlindungan terhadap penumpang dengan menetapkan pampasan lebih tinggi bagi kelewatan dan pembatalan penerbangan, termasuk insiden kelewatan di atas landasan (tarmac delay).
Bagi penerbangan domestik, pampasan untuk kelewatan melebihi lima jam akan ditingkatkan daripada 600 baht kepada 1,200 baht. Manakala bagi pembatalan penerbangan, pampasan akan naik daripada 1,200 baht kepada 1,500 baht.
Syarikat penerbangan dibenarkan menyalurkan pampasan dalam bentuk kredit perjalanan, baucar, mata ganjaran penerbangan kerap, atau pilihan lain yang munasabah.
Walau bagaimanapun, pampasan tidak terpakai sekiranya kelewatan atau pembatalan berpunca daripada keadaan luar jangka yang berada di luar kawalan syarikat penerbangan.
Selain itu, peraturan baharu ini turut menggariskan tanggungjawab syarikat penerbangan dalam menangani kelewatan ketika penumpang masih berada di dalam pesawat.
Penumpang mesti diberi pengudaraan mencukupi, kawalan suhu, serta akses ke tandas. Sekiranya terdapat penumpang yang memerlukan rawatan perubatan segera, syarikat penerbangan wajib memberikan bantuan sewajarnya.
Jika kelewatan melebihi tiga jam tanpa maklumat masa berlepas, penumpang mesti dibenarkan turun dari pesawat kecuali jika ia menjejaskan keselamatan atau kawalan trafik udara.
Peraturan ini menandakan langkah baharu dalam memastikan kebajikan penumpang sentiasa diutamakan, sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti syarikat penerbangan.