Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw) dilaporkan berjaya menawan semula beberapa markas tentera, kem dan kawasan kejiranan berhampiran bandar Bhamo yang sebelum ini dikuasai oleh gabungan pasukan pemberontak Kachin Independence Army (KIA), Arakan Army (AA) dan People’s Defence Force (PDF), lapor Eleven Myanmar.
Sejak Mac 2024, gabungan KIA-AA-PDF melancarkan serangan di laluan strategik Bhamo-Tazain-Myothit-Laiza serta Bhamo-Moemauk-Lweje, yang penting bagi perdagangan sempadan di sebelah timur Sungai Ayeyawady.
Serangan itu memaksa sebahagian penduduk melarikan diri, manakala komunikasi dan aliran barangan di kawasan terbabit terhenti susulan sekatan kumpulan bersenjata.
Menurut pihak berkuasa, selepas hampir lapan bulan bertempur, Tatmadaw melancarkan serangan balas besar-besaran pada Ogos 2025 dengan sokongan kapal tentera laut dan tujuh barisan pasukan darat.
Mereka berjaya merampas semula markas, kampung serta kawasan kejiranan di sekitar Bhamo antara 4 Ogos hingga 11 September, sekali gus memaksa kumpulan pemberontak berundur ke timur laut Bhamo dan kawasan Momauk.
Dalam operasi dari Disember 2024 hingga September 2025 itu, sebanyak 16 pertempuran besar dan hampir 500 pertempuran kecil berlaku.
Tatmadaw mendakwa telah menewaskan ribuan anggota pemberontak, selain merampas ratusan senjata.
Sebahagian daripada anggota bersenjata dilaporkan kembali menyerah diri bersama kelengkapan mereka.
Pihak tentera menegaskan operasi pembersihan akan diteruskan bagi memastikan keselamatan di Bhamo dan kawasan sekitarnya.