Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menggesa dunia Arab-Islam serta masyarakat antarabangsa untuk bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan dan memastikan keselamatan global.
Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Anwar menegaskan serangan Israel terhadap Qatar adalah bukti jelas kekejaman Zionis yang tidak mengenal batas.
“Ia (Israel) bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya. Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka.
“Serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas. Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini,” katanya dalam hantaran tersebut yang turut memaparkan beberapa gambar keberangkatan beliau ke Doha untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kecemasan Arab-Islam.
Anwar dijadual menyampaikan kenyataan rasmi Malaysia bagi menyatakan solidariti bersama Qatar.
Beliau menegaskan Malaysia tidak akan tunduk atau berdiam diri selagi penindasan itu berterusan, malah sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang tertindas.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 7 malam Ahad, menurut laporan Bernama.
Anwar menghadiri sidang kemuncak berkenaan atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani susulan serangan Israel di negara itu pada 9 September.
Serangan di kawasan Leqtaifiya yang melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis itu mengorbankan enam individu termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, manakala pimpinan tertinggi Hamas dilaporkan terselamat.