Ketua Parti Komunis Vietnam To Lam dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Korea Utara bulan depan, menurut dua pegawai Vietnam, menjadikannya kunjungan pertama pemimpin tertinggi negara itu ke Pyongyang dalam tempoh hampir 20 tahun.
Kedua-dua negara yang berpegang pada ideologi komunis mengekalkan hubungan diplomatik rapat namun tidak mempunyai hubungan dagangan ketika ini, menurut Kedutaan Vietnam di Pyongyang.
Lawatan berkenaan masih dalam peringkat persiapan dan belum diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua pihak.
Kementerian Luar Vietnam dan Kedutaan Korea Utara di Hanoi tidak memberikan sebarang maklum balas apabila diminta mengulas.
Salah seorang pegawai memaklumkan To Lam dijangka bertemu dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, namun tidak memperincikan tarikh atau isu yang akan dibincangkan.
Kunjungan terakhir pemimpin Vietnam ke Pyongyang adalah pada 2007 oleh Ketua Parti Komunis ketika itu, Nong Duc Manh, manakala lawatan paling bersejarah sebelum itu dibuat Presiden Ho Chi Minh pada 1957.
Pada 2019, Kim Jong Un sendiri pernah melawat Hanoi sempena sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump, sekali gus mencatat lawatan luar negara yang jarang berlaku oleh pemimpin Korea Utara.
Mengikut senarai rasmi, pegawai peringkat lebih rendah kedua-dua negara telah kembali mengadakan pertemuan sejak tahun lalu selepas lima tahun terhenti.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik Vietnam–Korea Utara.
Lawatan To Lam ke Pyongyang itu menyusuli kunjungannya ke Korea Selatan pada Ogos lalu, di mana beliau menjadi pemimpin asing pertama yang diterima Presiden Lee Jae Myung sejak memegang jawatan pada Jun.
Hubungan rapat Hanoi dengan Seoul amat penting disebabkan pelaburan besar syarikat Korea Selatan, termasuk Samsung, yang melebihi AS$90 bilion di Vietnam.