Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan menjemput Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan adalah langkah diplomatik strategik, sambil menegaskan Malaysia akan terus menggunakan pentas itu untuk menyuarakan keprihatinan terhadap Palestin, termasuk kekejaman rejim Zionis di Gaza, lapor Bernama.
Beliau berkata, Malaysia mesti kekal bijaksana dalam rundingan antarabangsa dengan menegakkan prinsip kebenaran dan keadilan tanpa menjejaskan hubungan diplomatik yang boleh dimanfaatkan untuk perjuangan kemanusiaan.
“Malaysia lantang mempertahankan Palestin dan Gaza. Kita menggunakan saluran diplomatik kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Namun dalam masa sama, kita mesti bijak mencari sahabat. Suara kita akan terus memperjuangkan kebenaran dan keadilan secara strategik,” katanya semasa Jelajah Wira Madani dan sambutan ulang tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks Zon Maritim Sandakan pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah APMM Laksamana (Maritim) Mohd Rosli Abdullah.
Pada 9 September lalu, Anwar mengesahkan Trump akan menghadiri sidang kemuncak tersebut, yang dijangka akan turut menghimpunkan pemimpin dunia dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara-negara ASEAN.
Beliau turut menegur pihak yang menolak hubungan dengan Amerika Syarikat secara mutlak tanpa mempertimbangkan kepentingan ekonomi rakyat, terutama dalam sektor eksport teknologi tinggi.
“Eksport semikonduktor Malaysia ke AS mencecah berbilion ringgit dan puluhan ribu rakyat bekerja dalam sektor ini. Jika kita putuskan hubungan secara melulu, yang rugi adalah rakyat sendiri,” katanya.
Menurut Anwar, walaupun Malaysia negara kecil, dasar luar yang jelas dan diplomasi berprinsip menjadikannya dihormati di peringkat antarabangsa — terbukti apabila negara ini pernah diminta menjadi pengantara konflik di sempadan Thailand-Kemboja serta dalam proses kemerdekaan Timor-Leste.