Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan pembaharuan segera, termasuk menghadkan atau menghapuskan kuasa veto yang dimiliki lima ahli tetap Majlis Keselamatan PBB.
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata kuasa veto sering disalah guna dan menjadi punca Majlis Keselamatan gagal bertindak tegas ke atas jenayah terhadap kemanusiaan.
“Setiap kali kuasa itu digunakan, kita mesti mencabarnya. Kuasa sebenar perlu dikembalikan kepada Perhimpunan Agung — badan paling inklusif yang seharusnya berperanan sebagai suara nurani dunia tanpa sekatan,” katanya semasa berucap di sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB di New York.
Beliau turut menegaskan keperluan menuntut akauntabiliti daripada lima ahli tetap Majlis Keselamatan — Amerika Syarikat, Rusia, China, Perancis dan United Kingdom — serta mengaktifkan semula Resolusi 377A (Uniting for Peace) bagi mengembalikan maruah organisasi berkenaan.
Mohamad menegaskan PBB mesti kekal relevan dan berkesan sebagai penjaga keamanan global, sambil memberi amaran bahawa kegagalan menyelesaikan isu-isu besar seperti Palestin akan melemahkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem global.
Menyentuh kekejaman rejim Zionis, beliau menggesa PBB mengenakan sekatan ke atas Israel, menegaskan bahawa serangan rejim itu ke atas Doha, Qatar bukan sekadar menyasarkan wakil Hamas, sebaliknya satu pelanggaran kedaulatan negara dan penghinaan terhadap usaha mediasi.
“Kezaliman itu mungkin bermula di Palestin, namun tidak akan berakhir di Palestin. Jika rantau itu terus bergolak, kesannya akan dirasai di seluruh dunia. Justeru, sekadar menyokong penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi,” tegasnya sambil mengulangi komitmen Malaysia untuk terus menyokong rakyat Palestin melalui Deklarasi New York serta langkah konkrit menentang kuasa pendudukan.