ASIA
2 min membaca
Vietnam dan Rusia perkukuh kerjasama parlimen dan ekonomi ke tahap lebih tinggi
Vyacheslav Volodin, Pengerusi Duma Rusia, dan Tran Thanh Man, Pengerusi Dewan Negara Vietnam, bersetuju bahawa hubungan Rusia dan Vietnam sedang berkempang pesat dan positif.
Vietnam dan Rusia perkukuh kerjasama parlimen dan ekonomi ke tahap lebih tinggi
Pengerusi Dewan Negara Vietnam Tran Thanh Man dan Pengerusi Duma Rusia Vyacheslav Volodin. Foto: Duma Negeri Perhimpunan Persekutuan Rusia. / User Upload
30 September 2025

Dalam satu langkah penting untuk memacu hubungan bilateral yang sudah terjalin selama 75 tahun, Vietnam dan Rusia telah bersetuju untuk mempergiat dan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya melalui saluran parlimen dan ekonomi, mengikut laporan media tempatan.

Persetujuan ini dicapai semasa lawatan rasmi Pengerusi Duma Negara Rusia, Vyacheslav Volodin, ke Hanoi, di mana beliau mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengerusi Dewan Negara Vietnam, Tran Thanh Man.

Pertemuan tersebut, yang berlangsung dalam suasana persahabatan dan kepercayaan, menekankan dasar konsisten Vietnam dalam menghargai persahabatan tradisi dan perkongsian strategi menyeluruh dengan Rusia. Kedua-dua pemimpin parlimen bersetuju bahawa hubungan antara kedua negara sedang berkembang dengan pesat dan positif.

Dalam aspek kerjasama ekonomi, kedua-dua pihak berkomitmen untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan. Ini termasuk melaksanakan dengan lebih berkesan Perjanjian Perdagangan Bebas antara Vietnam dan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU). 

Kerjasama dalam bidang tenaga, terutamanya minyak dan gas, akan terus diperkukuh, dan kedua-dua negara juga akan meneroka prospek baru dalam projek tenaga nuklear untuk Vietnam. Pengerusi Tran Thanh Man menyampaikan penghargaan atas kelancaran pihak Duma Rusia meluluskan perjanjian berkaitan penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas.

Dari sudut kerjasama parlimen, Vietnam dan Rusia akan meningkatkan perkongsian pengalaman dalam pembinaan kerangka undang-undang dan penubuhan 'parlimen pintar'. Mereka juga akan memperluas pertukaran antara jawatankuasa dan kumpulan persahabatan, serta menyokong agensi-agensi kedua negara dalam mengatasi halangan untuk memudahkan kerjasama dalam pelbagai sektor.

Bidang kemanusiaan juga tidak terabai. Kerjasama dalam pendidikan, latihan, dan budaya akan diperdalam. Rusia, yang mempunyai kekuatan dalam banyak bidang sains dan teknologi, akan membantu Vietnam dalam program latihan dan pendidikan. Inisiatif untuk menggalakkan pengajaran bahasa Vietnam di Rusia dan bahasa Rusia di Vietnam juga akan dipromosikan bagi mengukuhkan lagi hubungan rakyat ke rakyat.

Sebagai sebahagian daripada lawatan ini, kedua-dua pemimpin turut bersama-sama mempengerusikan mesyuarat ke-4 Jawatankuasa Kerjasama Antara Parlimen Vietnam-Rusia. Dalam mesyuarat itu, mereka mengkaji semula hasil kerjasama sejak mesyuarat sebelumnya di Moscow dan membincangkan halatuju masa depan. Sebuah Perutusan Bersama telah diterima pakai untuk merangka hala tuju kerjasama antara parlimen yang selari dengan hubungan bilateral dan konteks antarabangsa semasa. 

Mesyuarat ke-5 jawatankuasa ini dijadualkan berlangsung di Rusia pada tahun 2026.