ASEAN mesti terus berusaha memulihkan kredibiliti Konsensus Lima Perkara sambil memastikan keselamatan dan kestabilan di Myanmar, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.
Beliau menzahirkan kekecewaan ASEAN terhadap pelanggaran gencatan senjata yang dipersetujui di beberapa kawasan, sekali gus menjejaskan nyawa orang awam.
“Mereka yang berkuasa perlu ingat bahawa Myanmar sebahagian daripada rantau ini, bukan negara terpencil. Masa depan yang cerah dan selamat menanti semua rakyat kita sekiranya kita bekerjasama secara jujur ke arah penyelesaian yang dipimpin dan dimiliki Myanmar sendiri,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-80 di ibu pejabat PBB pada Sabtu.
Menurut beliau, sebagai blok serantau, ASEAN akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan, memperkukuh keselamatan, meningkatkan daya tahan ekonomi dan memajukan agenda kelestarian.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Mohamad berkata Malaysia memahami bahawa keamanan memerlukan usaha luar biasa.
“Apabila konflik antara dua jiran memuncak, ASEAN tidak berdiam diri. Kita bertindak, mempertemukan kedua-dua pihak di Malaysia dan melaksanakan gencatan senjata — yang kini dipantau ASEAN secara aktif di lapangan,” katanya.
Beliau menegaskan ASEAN akan terus mendesak semua pihak menghormati komitmen mereka, kerana tiada konflik – sama ada antara negara mahupun dalam negara – yang berbaloi untuk mempertaruhkan kestabilan rantau ini.
Dalam pada itu, Mohamad turut menekankan bahawa Malaysia akan terus memperjuangkan hak dan keperluan negara-negara Selatan Global yang sering terpinggir akibat dasar ekonomi tidak seimbang, sambil menyeru kepada pembentukan tata dunia lebih adil berasaskan maruah, kesaksamaan dan peluang untuk semua negara membangun.