Populariti parti-parti utama Thailand terus merosot menjelang pilihan raya umum 2026 apabila semakin ramai pengundi menyatakan mereka belum menemui calon perdana menteri yang sesuai, menurut tinjauan terbaharu oleh National Institute of Development Administration (Nida Poll), lapor The Nation Thailand.
Dalam tinjauan ketiga tahun ini yang dijalankan antara 19 hingga 24 September melibatkan 2,500 responden berumur 18 tahun ke atas di seluruh negara, 27.28% responden memilih “tiada calon sesuai” sebagai jawapan kepada soalan siapakah pilihan mereka untuk jawatan perdana menteri jika pilihan raya diadakan hari ini — iaitu peningkatan ketara berbanding 19.88% dalam tinjauan pada Jun lalu.
Hasil tinjauan itu turut menunjukkan bahawa kem populariti parti politik utama turut menurun.
Sokongan terhadap People’s Party merosot daripada 46.08% pada Jun kepada 33.08% pada September, manakala ketua partinya Natthaphong Rueangpanyawut juga menyaksikan kejatuhan mendadak daripada 31.48% kepada 22.80%.
Penganalisis melihat trend ini sebagai isyarat bahawa pengundi mula bersikap “tunggu dan lihat” selepas tindakan parti pembangkang itu menyokong pelantikan Anutin Charnvirakul sebagai perdana menteri.
Keputusan itu dipercayai memberi kesan ‘boomerang’ terhadap gelombang “oren” mereka, sekaligus memperkukuh blok pengundi yang masih belum membuat keputusan.
Sebaliknya, Anutin yang kini memegang jawatan perdana menteri menikmati lonjakan populariti, meningkat daripada 9.64% kepada 20.44%. Sokongan terhadap partinya, Bhumjaithai, juga naik daripada 9.76% kepada 13.24%.
Pemerhati berpendapat peningkatan ini didorong oleh sentimen nasionalisme susulan ketegangan di sempadan Thai–Kemboja serta persepsi bahawa Anutin mampu mempamerkan kepimpinan yang tegas.
Sementara itu, Pheu Thai mengalami kejatuhan mendadak selepas peletakan jawatan bekas perdana menteri Paetongtarn Shinawatra. Calon penggantinya, Chaikasem Nitisiri, hanya memperoleh 6.76%, jauh lebih rendah berbanding 30.90% yang pernah dicapai Paetongtarn pada awal tahun.
Sokongan parti itu juga merosot kepada 13.96% daripada 28.05% pada Mac lalu — kemerosotan yang dikaitkan dengan kebocoran rakaman perbualan Paetongtarn bersama bekas pemimpin Kemboja Hun Sen.
Parti United Thai Nation (UTN) pula terus kehilangan sokongan seiring dengan kemerosotan pengaruh bekas perdana menteri Prayut Chan-o-cha.
Tanpa figura utama itu dalam senarai calon, UTN kini berdepan krisis kepimpinan apabila populariti ketuanya, Pirapan Salirathavibhaga, turut menjunam kepada 2.72%.
Dalam masa yang sama, Parti Demokrat mencatat sedikit kebangkitan selepas Chalermchai Sri-on melepaskan jawatan ketua parti, sekali gus membuka ruang kepada spekulasi kemunculan semula bekas perdana menteri Abhisit Vejjajiva.
Sokongan terhadap parti tertua Thailand itu meningkat daripada 1.76% kepada 5.52%, manakala Abhisit sendiri memperoleh 1.04%.
Ketua Thai Sang Thai, Khunying Sudarat Keyuraphan, pula mengekalkan prestasi stabil dengan peningkatan daripada 3.90% pada Mac kepada 7.16% pada September, menunjukkan beliau masih mempunyai sokongan asas yang kukuh.
Keseluruhannya, tinjauan Nida Poll kali ini mencerminkan realiti politik Thailand yang kian rencam — di mana kebanyakan pengundi masih belum menemui tokoh yang benar-benar mereka yakini.
Dengan hanya enam bulan sebelum pilihan raya dan empat bulan sebelum Parlimen dibubarkan, semua parti kini bersaing hebat untuk memenangi hati pengundi atas pagar.