Kerajaan memberi jaminan penuh terhadap keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza, bersama lebih 500 peserta antarabangsa lain yang kini berdepan situasi getir di rantau bergolak itu.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kerajaan bersedia mengaktifkan saluran diplomatik melalui negara-negara sahabat di rantau berkenaan bagi memastikan keselamatan semua peserta flotila.
“Misi ini melibatkan delegasi dari 45 buah negara, termasuk 34 wira kemanusiaan Malaysia yang sanggup meredah lautan demi menyampaikan suara dunia menentang kekejaman dan sekatan haram rejim Zionis terhadap Gaza,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.
“Kita akan minta bantuan negara sahabat untuk membantu sedaya mungkin, bukan sahaja bagi 34 rakyat Malaysia tetapi untuk seluruh lebih 500 peserta flotila agar tindakan segera dapat diambil demi keselamatan mereka.”
Zahid memaklumkan beliau akan mengadakan perbincangan segera bersama Menteri Luar Mohamad Hasan dan Menteri Pertahanan Khaled Nordin bagi menyelaras usaha diplomatik serta strategi terbaik untuk penghantaran bantuan dan kepulangan peserta Malaysia.
Beliau turut menzahirkan penghargaan mendalam kepada 34 rakyat Malaysia dalam misi tersebut, yang disifatkan sebagai wira dan wirawati negara kerana berani menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun berdepan pelbagai ancaman.
“Mereka telah berlayar jauh, meredah risiko termasuk serangan bom dan dron. Saya gesa seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa demi kejayaan misi ini yang kini berada di zon kuning dan dijangka memasuki zon merah tidak lama lagi,” ujarnya.
Ahmad Zahid menambah, penyertaan peserta dari 45 negara dalam misi GSF mencerminkan sokongan global yang semakin kukuh terhadap Palestin, malah ada negara yang sebelum ini condong ke arah Israel kini menunjukkan perubahan pendirian.
Katanya, misi ini bukan semata-mata soal agama tetapi soal kemanusiaan sejagat, kerana Gaza kini berdepan kebuluran dan penindasan.
Beliau turut mengecam serangan udara Israel ke atas pelarian di Gaza baru-baru ini yang disifatkan sebagai cubaan menakutkan konvoi GSF.
Media antarabangsa melaporkan amaran baharu dikeluarkan pihak Israel ketika flotila kini sedang menyeberangi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, perubatan serta mesej keamanan. Mereka dijadual tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini.