Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan berkata proses penyediaan dokumentasi bagi membolehkan China menandatangani Protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) berjalan dengan baik setakat ini, Bernama melaporkan.
Menurut beliau, proses berkenaan akan mengambil masa yang panjang memandangkan ia melibatkan pelbagai peringkat dokumentasi dan perundangan.
“Perkembangannya sangat positif. Malah, keputusan awal China untuk menandatangani Protokol SEANWFZ tanpa sebarang syarat merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan oleh ASEAN.
“Susulan kenyataan China itu, beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat turut menyatakan minat untuk menandatangani protokol tersebut tanpa mengenakan syarat,” katanya pada sidang media di Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Sabtu.
Terdahulu, beliau menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia semasa Perbahasan Umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 2025.
Pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Kuala Lumpur pada Julai lalu, Mohamad memaklumkan bahawa China telah memberi komitmen untuk menandatangani Perjanjian SEANWFZ tanpa syarat sebaik semua dokumentasi dimuktamadkan.
Perjanjian SEANWFZ atau lebih dikenali sebagai Bangkok Treaty dimeterai pada Disember 1995 oleh negara anggota ASEAN sebagai komitmen menjadikan Asia Tenggara bebas daripada senjata nuklear dan pemusnah besar-besaran.
Ia mula berkuat kuasa pada Mac 1997 dan merupakan satu daripada lima Zon Bebas Senjata Nuklear di dunia.