PERANG GAZA
2 min membaca
Malaysia umum tambahan AS$25 juta untuk Gaza
Beliau menegaskan bahawa menerusi Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin, Malaysia telah menyumbang sebanyak AS$17 juta dalam bentuk bantuan kewangan dan kemanusiaan sejak 2024.
Malaysia umum tambahan AS$25 juta untuk Gaza
Mohamad Hasan berkata komitmen itu membuktikan pendirian konsisten Malaysia dalam membela rakyat Palestin. / Foto: FB Mohamad Hasan / Other
26 September 2025

Malaysia akan terus memperkukuh sokongan terhadap Palestin dengan menyalurkan tambahan bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza berjumlah AS$25 juta.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata komitmen itu membuktikan pendirian konsisten Malaysia dalam membela rakyat Palestin.

“Kami akan terus menyokong dengan pembiayaan dan dengan sukacita saya mengumumkan bahawa Malaysia akan memberi bantuan tambahan sebanyak AS$25 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan serta pembinaan semula Gaza, sebagai tanda komitmen berterusan kami,” katanya ketika berucap pada Ministerial Meeting in Support of UNRWA di New York.

Beliau menegaskan bahawa menerusi Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin, Malaysia telah menyumbang sebanyak AS$17 juta dalam bentuk bantuan kewangan dan kemanusiaan sejak 2024.

Mohamad turut memuji usaha gigih Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang disifatkan sebagai “nadi kehidupan” kepada pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.

Katanya, Malaysia akan terus menyokong mandat UNRWA dalam memberi perlindungan dan bantuan kepada pelarian Palestin, sambil menegaskan keperluan semua negara anggota PBB menunaikan tanggungjawab mereka untuk memastikan kelangsungan operasi agensi itu.

“Malaysia bersedia bekerjasama dengan PBB dan negara-negara sehaluan dalam usaha kolektif memperkukuh penghantaran bantuan kemanusiaan serta membina semula Gaza pada masa depan. Kita juga akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan seperti Jordan, Mesir dan NGO dalam hal ini,” ujarnya.

SUMBER:TRT Global