Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menerima jemputan daripada Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) untuk menyampaikan syarahan di Universiti Oxford pada waktu yang sesuai.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata jemputan itu diterima semasa kunjungan hormat oleh ahli lembaga pemegang amanah OCIS di Seri Perdana, Putrajaya pada Isnin.
Menurut beliau, delegasi berkenaan terdiri daripada bekas Presiden Turkiye Dr Abdullah Gul, bekas Perdana Menteri Kuwait Sheikh Dr Mohammed Al-Sabah, Pengarah OCIS Dr Farhan Nizami, serta Felo OCIS Datuk Dr Afifi al-Akiti.
“Kami bertukar pandangan terkait perkembangan hal ehwal ekonomi dan hubungan antarabangsa dunia Islam khususnya dalam memupuk dialog antara dunia Islam dan Barat di samping memperkukuh kefahaman mengenai ekonomi dan pasaran Islam.,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan atas kesudian OCIS menjemput beliau, dan menyifatkan pusat pengajian itu sebagai antara institusi terpenting dalam memperkukuh wacana ilmiah serta memahami Islam dari perspektif yang progresif dan global.