Parti pro-tentera Myanmar memenangi fasa pertama pilihan raya yang dikendalikan pihak junta, dengan Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP) meraih hampir 90 peratus kerusi parlimen, menurut keputusan rasmi terkini yang dikeluarkan pada Isnin.
Pada 2021, pihak tentera membuat rampasan kuasa yang menyingkirkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, namun kini mengendalikan pilihan raya secara berperingkat selama sebulan yang didakwanya akan memberi semula kuasa kepada rakyat.
Bagaimanapun, pemimpin Barat dan aktivis demokrasi menolak pilihan raya itu sebagai sekadar usaha menjenamakan semula pemerintahan tentera.
Berdasarkan pengiraan keputusan rasmi yang dikeluarkan antara Jumaat hingga Isnin, USDP memenangi 89 daripada 102 kerusi Dewan Rendah yang dipertandingkan dalam fasa pertama undian pada 28 Disember, bersamaan dengan lebih 87 peratus kerusi.
Baki kerusi kebanyakannya dimenangi parti etnik minoriti.
Penganalisis dan pemerhati menyifatkan USDP sebagai proksi tentera, di mana ramai bekas pegawai kanan tentera memegang jawatan utama dalam parti itu.
Keputusan keseluruhan hanya akan diumumkan selepas fasa ketiga, iaitu fasa terakhir pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari.
Di bawah perlembagaan yang digubal oleh tentera, satu perempat kerusi Dewan Rendah serta jawatan kabinet utama diperuntukkan kepada anggota angkatan bersenjata, tanpa mengira keputusan pilihan raya.
USDP sebelum ini tewas teruk kepada Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi dalam pilihan raya 2020, sebelum keputusan itu dibatalkan oleh pihak tentera atas dakwaan berlakunya penipuan.
Suu Kyi, 80, masih dipenjarakan dan NLD tidak tersenarai dalam kertas undi.
Rampasan kuasa itu mencetuskan perang saudara, dengan kumpulan pro-demokrasi dan pasukan etnik bersenjata berikrar untuk menghalang pilihan raya dilakukan di kawasan yang berada di bawah kawalan mereka, sementara pihak junta mengakui bahawa pilihan raya tidak dapat dijalankan di seluruh negara.












