Dua Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, dengan bacaan kali kedua dijadual berlangsung pada persidangan Parlimen yang sama.
Di bawah RUU pertama, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan akan dipinda bagi memperkenalkan had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun, sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.
Fasal baharu 2(a) memperuntukkan bahawa seseorang Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan melebihi tempoh itu, manakala Fasal (4b) menetapkan Kabinet akan terbubar sebaik sahaja tempoh tersebut tamat.
Fasal (4c) pula memperuntukkan Perdana Menteri dan Kabinet yang tamat tempoh boleh terus menjalankan tugas sebagai kerajaan sementara dengan kuasa terhad sehingga kerajaan baharu dibentuk.
Tempoh perkhidmatan yang telah dilalui sebelum undang-undang ini berkuat kuasa turut akan diambil kira dalam pengiraan had 10 tahun berkenaan.
Sementara itu, RUU yang kedua bertujuan untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya secara rasmi menerusi pindaan ke atas Perkara 42, 132, 138, 145 dan 160 serta memasukkan dua Perkara baharu iaitu 145A dan 145B.
Antara cadangan utama ialah memindahkan kuasa pendakwaan daripada Peguam Negara kepada Pendakwa Raya, selain menetapkan tatacara pelantikan, kelayakan, tempoh jawatan, saraan dan penamatan perkhidmatan jawatan tersebut.
Pindaan itu juga mencadangkan penstrukturan semula Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dengan memasukkan Pendakwa Raya sebagai anggota serta menambah tiga ahli ex officio baharu iaitu Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, serta Peguam Cara Negara.
Kedua-dua RUU berkenaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.










