Gempa bumi yang melanda luar pantai Sabah awal pagi Isnin (23 Feb) merupakan yang paling kuat pernah melanda negara dalam tempoh 11 tahun, menurut laporan Bernama.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata berdasarkan rekod jabatan itu, gempa paling kuat sebelum ini berlaku pada 5 Jun 2015 di Ranau, Sabah.
Gempa berukuran 6.0 magnitud pada 2015 itu meragut 18 nyawa dan masih dianggap sebagai antara gempa bumi paling signifikan dalam sejarah negara.
Mengulas gempa bumi pagi tadi, Mohd Hisham menjelaskan ia berlaku di luar pantai Sabah kerana negeri itu terletak berhampiran Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktif seismik yang terbentuk akibat pergerakan plat tektonik bumi.
“MetMalaysia masih menjalankan pemantauan rapi dan setakat ini, tiada sebarang gempa susulan direkodkan.
“Memandangkan pusat gempa berada jauh di bawah permukaan bumi, iaitu pada kedalaman 678 kilometer, hanya gegaran lemah dapat dirasai oleh orang ramai,” katanya.
Dalam kenyataan pagi tadi, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi kuat berukuran 6.8 magnitud melanda luar pantai Sabah pada jam 12.57 pagi, namun tidak membawa ancaman tsunami.
Pusat gempa terletak kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat, Sabah dan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Sabah, Sarawak serta Semenanjung Malaysia.















