Penangkapan bekas Putera Andrew Mountbatten-Windsor minggu lalu menghangatkan semula kritikan hebat ke atas bukan sahaja ahli keluarga diraja Britain itu sendiri, tetapi juga terhadap kalangan elit yang didedahkan dalam fail Jeffrey Epstein.
Pada 2001, bekas putera itu dirakam bersama Ghislaine Maxwell dalam satu foto, yang kini sedang menjalani hukuman 20 tahun atas tuduhan pemerdagangan seks, serta Virginia Giuffre, yang menuduh Jeffrey Epstein melakukan perbuatan keji ke atas dirinya yang ketika itu masih di bawah umur. Guiffre membunuh diri pada tahun lalu.
Imej itu kini menjadi salah satu titik rujukan dalam perdebatan tentang bagaimana Epstein mampu menjalin hubungan dengan tokoh-tokoh terkemuka dan seterusnya mengekalkan ekosistem elit dunia.
Ramai pakar berpendapat fail Epstein mendedahkan lebih dari sekadar salah laku moral. Ia mencerminkan satu budaya dalam kalangan elit tertentu di mana modal sosial dan pengaruh institusi boleh menenggelamkan tindakan undang-undang hanya kerana mempunyai status yang tinggi dan hubungan kuat dengan golongan berpengaruh.
“Nampaknya golongan elit Barat yang kaya dan berkuasa ini menganggap diri mereka kebal daripada akibat dan tindakan undang-undang dengan terus melakukan perkara yang sangat keji,” kata pakar kajian Eurasia Gregory Simons kepada TRT World.
“Ungkapan 'peraturan untukmu tetapi bukan untukku' nampaknya sangat sesuai untuk merumuskan sikap mereka; mereka sama sekali tiada kompas moral atau kawalan diri.”
Isu akauntabiliti dalam kalangan elit ini sebenarnya pernah dicatat menerusi pelbagai contoh dalam sejarah dunia, termasuklah dalam sejarah keluarga diraja Britain sendiri sebelum pendedahan mengenai Putera Andrew ini dibuat, menurut pakar.
“Golongan kaya dan berkuasa memang mempunyai sejarah terlibat dalam eksploitasi seksual seperti ini. Semakin besar kedudukan dan keistimewaan mereka sebagai tokoh elit, semakin berani mereka melakukan pelbagai jenis eksploitasi,” kata Dan Steinbock, seorang ahli ekonomi dan pakar hubungan antarabangsa, kepada TRT World.
“Lord Mountbatten ialah bapa saudara kepada bapa Putera Andrew, iaitu mendiang Putera Philip. Sebagai seorang mentor patriakal yang signifikan, beliau memegang peranan penting dalam Keluarga Diraja Britain, seperti yang dapat kita lihat dalam nama keluarga Andrew sendiri, ‘Mountbatten-Windsor’. Lord Mountbatten sendiri pernah dituduh sebagai salah satu tokoh utama yang dikaitkan dengan rangkaian pengamal pedofilia di Kincora Boys' Home di East Belfast pada 1970-an.”
Kincora Boys’ Home, yang dirobohkan pada 2022 adalah sebuah pusat jagaan untuk kanak-kanak lelaki di Belfast, Ireland Utara, yang menjadi lokasi eksploitasi kanak-kanak secara terancang. Ia turut didakwa melibatkan perkhidmatan risikan Britain dan Lord Mountbatten, menurut wartawan siasatan.
Dalam sebuah buku baru-baru ini, Kincora: Britain’s Shame – Mountbatten, MI5, the Belfast Boys’ Home Sex Abuse Scandal and the British Cover-Up, Chris Moore, seorang wartawan siasatan di Ireland, menulis bahawa kanak-kanak di Kincora disalahgunakan secara sistematik, dipaksa menyertai “rangkaian pedofilia seluruh negara, di mana ahli-ahlinya termasuk Lord Louis Mountbatten”, menurut pemberi maklumat dalam perkhidmatan risikan Britain.
Terdapat juga dakwaan bahawa mendiang Ratu Elizabeth telah lama mendiamkan diri mengenai kelakuan keji anak kesayangannya Andrew Mountbatten-Windsor sebelum aktiviti jeliknya didedahkan kepada umum, menurut pengkritik.
Mendiang Ratu Elizabeth malah membenarkan bekas Putera itu menggunakan Istana Buckingham untuk temu bual BBC yang penuh kontroversi pada 2019.
Bukan sekadar pemerdagangan seks
Dalam zaman moden yang memperkenalkan kedaulatan undang-undang serta tadbir urus demokratik di sebahagian besar dunia Barat, ramai yang berpendapat kedudukan dan keistimewaan golongan elit — sama ada dari kalangan aristokrat atau borjuis — kini sebahagiannya semakin hilang.
Namun, fail Epstein yang didedahkan baru-baru ini dilihat mungkin tidak begitu. Pendedahan mengejutkan itu memaparkan bagaimana rangkaian tokoh-tokoh maha kaya dan berkuasa di dunia bukan sahaja terlibat dalam aktiviti berkaitan pemerdagangan seks, tetapi mereka juga melakukan insider trading (perdagangan orang dalam) dan pertukaran maklumat sulit untuk mengembangkan pengaruh, kuasa dan kekayaan masing-masing.
Andrew Mountbatten-Windsor, yang menjadi utusan perdagangan UK dari 2001 hingga 2011, dituduh bukan sahaja kerana hubungannya dengan orang bawah umur dan jenayah berkaitan seks lain, tetapi juga kerana didakwa membocorkan maklumat negara yang sensitif kepada Epstein, dengan mengeksploitasi peranan kerajaan beliau.
“Hubungan yang terjalin itu menunjukkan bagaimana tindakan bersubahat mereka meningkat dalam kalangan elit politik, ekonomi dan ketenteraan transatlantik serta rasa kebal dan bongkak mereka,” kata Steinbock.
Selain Mountbatten-Windsor, yang dikatakan menggunakan wang rakyat untuk membayar 'perkhidmatan mengurut' beliau, menurut beberapa bekas penjawat awam Britain, terdapat banyak lagi hubungan lain antara perogol seks berbangsa Yahudi-Amerika itu dengan tokoh elit terkemuka lain.
Menurut fail Epstein yang didedahkan, walaupun selepas perogol seks itu disabitkan dan dipenjarakan atas aktiviti pemerdagangan seks pada 2008, beliau kekal menjadi orang tengah bagi perjanjian antara kumpulan elit Barat terkemuka dan institusi kerajaan.
Dalam satu kes pada 2015, Epstein memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam perjanjian antara Edmond de Rothschild Group, sebuah kumpulan perbankan Switzerland terkemuka yang berpangkalan di Geneva, dan Jabatan Kehakiman AS.
Ketika itu, bank Switzerland yang dimiliki oleh dinasti Rothschild “berdepan masalah” dengan Jabatan Kehakiman kerana membantu warga Amerika yang kaya-raya menyembunyikan aset mereka untuk mengelak daripada membayar cukai.
Menurut fail Epstein, Ariane de Rothschild, iaitu ketua kumpulan perbankan itu di Perancis, meminta bantuan Epstein untuk menyelesaikan perjanjian dengan Washington.
Perogol seks itu juga dibantu Kathy Ruemmler, iaitu seorang bekas pegawai pentadbiran Obama dan kini menjadi penasihat undang-undang terkemuka di Goldman Sachs - yang akan meletak jawatan pada musim panas disebabkan pendedahan Epstein - telah menyelesaikan kes bernilai $45 juta antara kumpulan Rothschild dan Jabatan Kehakiman AS.
Epstein dan Ruemmler menerima $35 juta daripada kumpulan perbankan Switzerland itu, sebagai tanda penghargaan de Rothschild kepada perogol seks itu atas bantuannya. “Terima kasih banyak atas bantuan luar biasa anda,” tulisnya dalam e-mel kepada Esptein.
“Hubungan Epstein dengan presiden, raja, keluarga diraja, jutawan, saintis, parti-parti politik, golongan politik transatlantik, ahli akademik, dermawan, media dan figura selebriti mendedahkan struktur rangkaian bertindih yang menyatukan sistem elit Barat,” kata Muzaffer Senel, seorang pensyarah pelawat di Jabatan Politik Universiti Binghamton.
“Sistem rangkaian tertutup ini sangat bergantung kepada masing-masing mengunci mulut mereka untuk melindungi reputasi. Ini juga membuktikan solidariti di kalangan elit yang menghalang ketelusan, meritokrasi dan tuntutan kedaulatan undang-undang dalam demokrasi liberal,” katanya kepada TRT World.
Bagaimana rakyat biasa akan bertindak balas?
Hubungan Epstein dengan tokoh-tokoh elit dunia telah melebarkan lagi jurang kepercayaan sedia ada antara warga biasa dan elit politik serta kewangan, menurut pakar.
“Pendedahan fail Epstein ini mengangkat tirai dan ilusi golongan yang mengawal landskap politik dan aset kewangan negara masing-masing. Bahkan ia mungkin lebih teruk daripada apa yang disangkakan. Hasil kontroversi akan melebarkan lagi jurang dan jarak antara golongan elit dan rakyat biasa,” kata Simons.
“Jika ini tidak mampu membuat orang ramai mempersoalkan sistem Barat dan golongan yang 'mengendalikannya', saya tidak pasti apa lagi yang boleh dilakukan. Ini mungkin penghujung kepada nyawa kredibiliti dan legitimasi mereka memandangkan mereka sudah pun berada dalam krisis kemerosotan,” tambahnya.
Lama sebelum pendedahan fail Epstein dibuat, jurang kepercayaan antara golongan elit dan orang biasa telah pun wujud, dipacu oleh tarikan gerakan populis anti-establishment yang meningkat di seluruh dunia, dari AS ke pelbagai negara Eropah, termasuk UK, Perancis, Jerman, Itali dan lain-lain.
“Pendedahan Epstein ini akan menguatkan perasaan orang ramai bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem politik mereka, sekali gus memberi kuasa kepada gerakan anti-establishment di seluruh Barat dan seluruh dunia,” kata Bulent Guven, seorang penganalisis politik yang berpangkalan di Hamburg, kepada TRT World.
Sabitan pemerdagangan seks Epstein pada 2008 bukanlah dicetuskan oleh siasatan FBI atau oleh aduan daripada mereka yang terlibat yang tampil kepada pihak berkuasa kerana rasa bersalah.
Sebaliknya, kes itu bermula selepas seorang ibu membuat laporan polis bahawa anak perempuannya dieksploitasi untuk pemerdagangan seks. Dalam tahun-tahun berikutnya, beberapa mangsa — termasuk Virginia Giuffre — tampil dengan tuduhan terhadap Epstein dan rakan-rakannya.
Guven berkata ketiadaan kompas moral di kalangan golongan elit sangat mengecewakan orang ramai yang terpaksa berdepan dengan isu inflasi dan cabaran ekonomi lain setiap hari.
“Masalah ekonomi dan sosial yang semakin meningkat boleh mengubah krisis sistemik sedia ada menjadi sesuatu yang tidak boleh diatasi.”
Walaupun terdapat siasatan oleh UK ke atas Mountbatten-Windsor, pentadbiran Trump yang bangkit dengan agenda popular anti-establishment mendakwa tidak banyak bukti yang boleh menyokong siasatan lanjut terhadap hubungan-hubungan tokoh lain dengan Epstein.
“Selepas dua ke tiga dekad golongan elit terus melakukan penindasan, kini semakin banyak kemarahan, dendam dan kebencian. Apa yang sepatutnya ditanya oleh rakyat Amerika ialah mengapa skandal Epstein ini lebih banyak menggegarkan golongan kaya-raya di Eropah tetapi tidak begitu ramai di AS,” kata Steinbock.
“Kini, masa berpihak kepada mereka yang mahu mencabar. Semakin besar jurang kekayaan, semakin besar asas protes untuk mobilisasi politik.”












