Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertitah bahawa sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara yang berbilang kaum.
Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia dibina atas asas keharmonian, dengan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.
Setiap rakyat, titah Baginda, bertanggungjawab memelihara nilai-nilai tersebut demi kepentingan bersama.
Baginda turut menegaskan bahawa semua pihak wajib mematuhi undang-undang sedia ada termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah dan pembinaan rumah ibadat.
Isu pembinaan kuil, masjid, gereja atau tokong hendaklah diurus mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama.
Sultan Ibrahim turut mengimbas kembali pengalaman Baginda pada Januari 2018 apabila bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang, sambil menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan bagi menjaga ketenteraman awam.
Titah Baginda, Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati dan tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun pendekatan sama perlu ditunjukkan bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang di Istana Negara hari ini, dan mengingatkan semua pihak supaya mengelak membuat kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan perpecahan serta menggugat keamanan negara.












