BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Tarif AS jejas syarikat Amerika di Malaysia, bukan firma tempatan – Anwar
Anwar Ibrahim berkata berdasarkan tinjauan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) setakat 23 Feb, impak terhadap syarikat Malaysia adalah minimum.
Tarif AS jejas syarikat Amerika di Malaysia, bukan firma tempatan – Anwar
Anwar meminta agar kerajaan diberi ruang dan masa untuk menilai situasi tarif secara menyeluruh. / Foto: Jabatan Penerangan Malaysia / Other
17 jam yang lepas

Tarif yang dikenakan Amerika Syarikat sebenarnya memberi kesan kepada syarikat AS yang berdagang dengan Malaysia dan bukannya syarikat tempatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) setakat 23 Feb, impak terhadap syarikat Malaysia adalah minimum.

“Tarif itu dikenakan ke atas syarikat Amerika yang berdagang dengan Malaysia. Sebab itu timbul perdebatan besar di AS. Strateginya adalah untuk memaksa syarikat terbabit melabur di AS dan bukan di luar negara,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar meminta agar kerajaan diberi ruang dan masa untuk menilai situasi tarif secara menyeluruh.

Beliau berkata walaupun Mahkamah Agung AS membatalkan keputusan terdahulu, Presiden Donald Trump masih mempunyai ruang untuk menggunakan peruntukan undang-undang lain bagi melaksanakan tarif.

“Keutamaan kita adalah meneliti implikasi terhadap perdagangan dan pelaburan negara. Jika keputusan yang diambil menguntungkan ekonomi serta rakyat, maka kita akan teruskan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART). Kita tidak boleh tergesa-gesa,” katanya sambil memaklumkan setakat ini tarikh ratifikasi belum ditetapkan.

Trump sebelum ini menggunakan Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 untuk mengenakan tarif 15 peratus selama 150 hari.

Anwar berkata pentadbiran AS juga berpotensi menggunakan Seksyen 232 dan Seksyen 301 akta sama.

“Kita tidak pasti pendirian Kongres terhadap keputusan Mahkamah Agung. Justeru, semua perintah eksekutif berkaitan tarif global baharu perlu dipantau rapi,” katanya.

Menurut beliau, kadar sementara 15 peratus itu lebih rendah berbanding 19 peratus di bawah ART dan secara relatif memberi kelebihan kepada Malaysia.

Namun, kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru memandangkan AS merupakan rakan dagang utama, dengan eksport Malaysia ke negara itu mencecah RM233.1 bilion dan jumlah dagangan dua hala bernilai RM367.5 bilion.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid mengenai tindakan terhadap bekas Menteri MITI Zafrul Abdul Aziz, Anwar berkata kerajaan akan mempertahankan keputusan yang dibuat berasaskan kepentingan negara.

“Malaysia adalah negara berdagang dan peruntukan sedia ada jelas tidak menjejaskan keselamatan atau kepentingan ekonomi kita,” katanya.

Beliau turut memaklumkan perkara itu kini dalam penelitian mahkamah selepas lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional memfailkan saman bagi mencabar kesahihan ART.

“Biarlah mahkamah mentafsirkan,” katanya.

Sementara itu, MITI sedang menjalankan analisis kos-faedah terhadap ART.

Menterinya Johari Abdul Ghani dalam jawapan bertulis Parlimen berkata dapatan analisis itu akan diambil kira sebelum kerajaan membuat keputusan sama ada untuk meratifikasi perjanjian berkenaan, dengan jaminan bahawa kepentingan nasional dan keselamatan ekonomi akan terus dipelihara.

SUMBER:TRT Global