Keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif global 15 peratus mencetuskan ketidaktentuan baharu dalam kalangan ekonomi Asia yang sebelum ini berusaha mendapatkan kadar lebih rendah menerusi konsesi perdagangan dan pelaburan kepada Washington, lapor China Daily.
Penganalisis berkata pengumuman terbaharu itu berpotensi mengurangkan tekanan terhadap beberapa negara Asia seperti India, Malaysia dan Thailand yang sebelum ini dikenakan tarif timbal balik antara 19 hingga 41 peratus sejak Ogos tahun lalu.
Presiden Donald Trump dalam hantaran media sosial memaklumkan kadar tarif global 10 peratus akan dinaikkan serta-merta kepada 15 peratus, sehari selepas Mahkamah Agung AS memutuskan penggunaan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) untuk mengenakan tarif timbal balik adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan mahkamah itu turut menimbulkan persoalan mengenai kesahihan perjanjian dua hala yang dimeterai antara AS dan beberapa negara Asia, termasuk komitmen mengurangkan tarif barangan AS serta pembelian tenaga dan pesawat sebagai pertukaran kepada kadar lebih rendah.
Ia juga tidak memperincikan sama ada tarif yang telah dikutip sebelum ini akan dipulangkan.
Penganalisis antarabangsa Solaris Strategies Singapore Mustafa Izzuddin menyifatkan langkah terbaharu itu mencerminkan kecenderungan Washington terhadap pendekatan ekonomi unilateral.
Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania James Chin pula berkata kebanyakan negara Asia kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana tarif AS telah lama diambil kira dalam perancangan dasar masing-masing, walaupun syarikat swasta mungkin menuntut bayaran balik susulan keputusan mahkamah tersebut.
Pelabur ekuiti persendirian Malaysia Ian Yoong Kah Yin berpandangan pengumuman itu boleh menjadi pemangkin prestasi pasaran saham Asia, khususnya Asia Tenggara, memandangkan banyak negara sebelum ini dikenakan kadar melebihi 15 peratus.
Bagaimanapun, Singapura dikecualikan dan hanya dikenakan tarif 10 peratus sebelum ini.
Di Indonesia, Presiden Prabowo Subianto berkata negaranya bersedia menghadapi segala kemungkinan dan akan terus memantau perkembangan politik domestik AS.
Di Korea Selatan, pegawai kanan presiden, kerajaan dan parti pemerintah mengadakan mesyuarat penyelarasan dasar susulan keputusan Mahkamah Agung itu, lapor Yonhap.
Syarikat Jepun seperti Toyota Tsusho dan Ricoh turut memaklumkan akan memantau situasi tersebut, manakala beberapa firma Jepun di AS sebelum ini memfailkan tuntutan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS bagi mendapatkan bayaran balik sekiranya tarif timbal balik itu diisytihar tidak sah.
Ketua ekonomi Asia-Pasifik Natixis Alicia Garcia-Herrero berkata senario terbaik adalah tanpa kenaikan tarif, namun negara yang sebelum ini dikenakan kadar melebihi 15 peratus kini mempunyai kelebihan relatif.
Presiden Asia-Pacific Strategy Research Center di Kuala Lumpur Chin Yew Sin menjelaskan Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 membenarkan tarif sementara sehingga 15 peratus selama 150 hari sahaja sebelum ia perlu diratifikasi Kongres AS.
“Ia adalah langkah sementara dan masih tertakluk kepada perubahan, justeru ketidaktentuan global masih berterusan,” katanya.






