ASIA
2 min membaca
Gempa Sabah: Penduduk imbau 10 saat mendebarkan susulan gegaran
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda luar pantai Kota Kinabalu pada jam 12.57 pagi Isnin (23 Feb), tanpa ancaman tsunami dikeluarkan.
Gempa Sabah: Penduduk imbau 10 saat mendebarkan susulan gegaran
Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan pemeriksaan selepas penduduk melaporkan merasai gegaran selama 10 saat pada awal pagi. / Foto: Sinar Harian / Other
18 jam yang lepas

Penduduk di Kota Kinabalu dan Putatan berdepan detik cemas selama 10 saat sekitar tengah malam pada Isnin apabila gempa bumi menggegarkan perairan luar pantai, sekali gus mencetuskan panik di kawasan berkenaan, menurut laporan Bernama.

Jalius Majin, 45, seorang pemandu e-hailing, berkata beliau sedang berehat di ruang tamu unit tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat Taman Sri Serigai, Putatan ketika gegaran berlaku.

Katanya, suasana malam yang tenang bertukar cemas apabila sofa yang didudukinya bergegar kuat, manakala dinding dan bumbung juga mengeluarkan bunyi kuat.

“Gegaran itu berlaku kira-kira 10 saat, tetapi terasa jauh lebih lama. Kipas siling di ruang tamu berhayun kuat dan bingkai gambar turut bergoncang. Ia lebih kuat berbanding gempa yang pernah kami alami sebelum ini,” katanya.

Menyedari keadaan bahaya, beliau mengejutkan isteri dan tiga anaknya sebelum mereka bergegas turun menggunakan tangga kecemasan ke kawasan parkir.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda luar pantai Kota Kinabalu pada jam 12.57 pagi Isnin (23 Feb), tanpa ancaman tsunami dikeluarkan.

Pembantu klinik, Clarice Eve Mojigoh, 28, yang tinggal bersama ibunya di tingkat enam, berkata beliau baru sahaja mahu berehat selepas pulang bekerja sebelum dikejutkan dengan pintu almari yang terhayun terbuka akibat pergerakan bangunan.

“Tingkap bergegar dan saya berasa pening kerana hayunan itu. Saya segera pergi cari ibu dan membawanya turun ke bawah, hanya sempat mengambil lampu suluh dan telefon,” katanya.

Sementara itu, pekerja syarikat pembersihan, Md Zamri Yusof, 32, berkata detik mencemaskan itu berlaku sejurus beliau mengunci bilik stor peralatan di sebuah blok komersial di Aeropod, Tanjung Aru.

Pada awalnya, beliau menyangka rasa pening yang dialaminya berpunca daripada keletihan bekerja syif malam, namun kemudian menyedari lantai koridor sebenarnya bergoyang.

“Gegaran berlangsung sekitar 10 saat, tetapi hayunan itu memaksa saya berpaut pada pagar koridor. Saya melihat pintu gulung di sepanjang aras itu bergegar dan mengeluarkan bunyi yang kuat,” katanya.

Menyedari gempa tersebut agak kuat, Md Zamri membatalkan hasrat untuk menggunakan lif dan segera menggunakan tangga untuk menyelamatkan diri.

Gegaran itu dirasai secara meluas oleh penduduk di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, khususnya mereka yang tinggal dalam bangunan tinggi.