ASIA
2 min membaca
Gempa bumi kuat 6.8 magnitud gegar perairan Sabah, tiada ancaman tsunami – MetMalaysia
MetMalaysia menegaskan bahawa tiada ancaman tsunami di Malaysia susulan kejadian tersebut dan pihaknya akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
Gempa bumi kuat 6.8 magnitud gegar perairan Sabah, tiada ancaman tsunami – MetMalaysia
Gempa bumi kuat melanda perairan Sabah pada jam 12:57 pagi, 23 Februari 2026. / Foto: MetMalaysia / Other
19 jam yang lepas

Gempa bumi kuat berukuran 6.8 magnitud melanda perairan Kota Kinabalu, Sabah pada jam 12:57 pagi Isnin, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia memaklumkan gempa itu berkoordinat 7.0° Utara dan 116.4° Timur, dengan jarak 49 kilometer barat dari Kudat dengan kedalaman 678 kilometer.

Gegaran dilaporkan dirasai di sekitar Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, MetMalaysia menegaskan bahawa tiada ancaman tsunami di Malaysia susulan kejadian tersebut dan pihaknya akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

Agensi berita Bernama melaporkan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah memaklumkan setakat ini tiada sebarang insiden dilaporkan akibat gempa berkenaan.

“Semua balai sedang membuat rondaan dan pemantauan di kawasan masing-masing bagi memastikan keselamatan orang ramai dan keadaan kekal terkawal,” menurut jabatan itu.

Di media sosial, ramai pengguna berkongsi pengalaman masing-masing, menurut laporan The Straits Times.

Seorang pengguna Facebook, Brauer Kong yang menetap di Miri, Sarawak - kira-kira 420 kilometer dari Kota Kinabalu - berkata beliau terkejut apabila terjaga daripada tidur akibat gegaran tersebut.

Seorang lagi penduduk Kota Kinabalu menggunakan nama akaun Handz Apeq Keychie berkata pada awalnya beliau menyangka dirinya hampir pitam sebelum menyedari ia adalah gegaran gempa.

“Unit apartmen saya di tingkat bawah dan saya dapat rasa bangunan bergoyang,” katanya.

Gegaran turut dilaporkan dirasai di beberapa lokasi di Singapura seperti Toa Payoh, Balestier dan Punggol.

Seorang pengguna Reddit dikenali sebagai dcburn yang menetap di kawasan East Coast menyifatkan ia sebagai antara gegaran paling kuat pernah dirasainya di negara itu.

Di Brunei, Pusat Seismik Nasional (NSC) memaklumkan gempa berukuran 6.9 magnitud dengan kedalaman sekitar 600 kilometer itu turut dikesan oleh stesen seismik tempatan, lapor Borneo Bulletin.

Pusat gempa dilaporkan terletak kira-kira 19 kilometer dari Kampong Mantanani dan sekitar 256 kilometer timur laut Bandar Seri Begawan.

Beberapa kawasan di negara itu turut melaporkan gegaran ringan, di mana penduduk berkongsi detik merasakan seperti lantai bergerak secara perlahan, manakala lampu dalam rumah berayun semasa gempa bumi itu berlaku.

SUMBER:TRT World & Agencies