DUNIA
2 min membaca
Kes genosid Rohingya di ICJ bermula, bawa implikasi global
Kes ini dilihat mampu membawa implikasi yang lebih besar dan melangkaui Myanmar, seperti kes genosid di Gaza yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel.
Kes genosid Rohingya di ICJ bermula, bawa implikasi global
Ini merupakan kes genosid penuh pertama yang didengar oleh mahkamah tertinggi PBB itu dalam tempoh lebih sedekad. (FAIL) / AFP
12 Januari 2026

Kes bersejarah yang menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap minoriti Muslim Rohingya akan mula dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini, menandakan kes genosid penuh pertama yang didengar oleh mahkamah tertinggi PBB itu dalam tempoh lebih sedekad.

Kes yang difailkan oleh Gambia pada 2019 itu menuduh Myanmar melakukan genosid di negeri Rakhine, susulan operasi tentera pada 2017 yang memaksa sekurang-kurangnya 730,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, termasuk laporan pembunuhan, rogol beramai-ramai dan tindakan membakar seluruh kampung.

Myanmar menafikan dakwaan itu dan menyifatkan operasi berkenaan sebagai tindakan anti-keganasan.

Ketua Mekanisme Penyiasatan Bebas PBB bagi Myanmar Nicholas Koumjian berkata kes itu berpotensi menetapkan pendulu (precedent) penting tentang takrif genosid, standard bukti yang dikemukakan, serta bentuk remedi undang-undang.

Kes ini dilihat mampu membawa implikasi yang lebih besar dan melangkaui Myanmar, seperti kes genosid di Gaza yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel.

Perbicaraan selama tiga minggu itu turut menandakan kali pertama mangsa Rohingya didengari oleh sebuah mahkamah antarabangsa, walaupun sesi berkenaan akan diadakan secara tertutup atas faktor sensitiviti dan privasi.

Prosiding itu berlangsung ketika Myanmar terus bergolak susulan rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan perang saudara.

Negara itu kini sedang mengadakan pilihan raya berperingkat yang dikritik PBB, negara Barat dan kumpulan hak asasi sebagai tidak bebas dan tidak adil.

Parti pro-tentera USDP dilaporkan sedang mendahului persaingan selepas memenangi majoriti kerusi pada fasa pertama pilihan raya yang bermula pada 28 Disember lalu.

Walaupun pihak junta mendakwa pilihan raya itu akan membawa kestabilan politik, penganalisis memberi amaran bahawa usaha membentuk kerajaan semasa konflik sangat berisiko tinggi.

Penganalisis turut berkata ada kemungkinan pilihan raya itu akan gagal memperolehi pengiktirafan antarabangsa.

Krisis kemanusiaan di Myanmar kini terus meruncing dengan jutaan rakyatnya terpaksa berpindah, sementara ribuan orang awam yang lain terkorban.

SUMBER:Reuters