BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Bank Dunia beri amaran krisis tenaga kerja Thailand, gesa pemerkasaan kemahiran AI
Melinda Good berkata dunia bakal menyaksikan 1.2 bilion belia memasuki pasaran kerja dalam tempoh 10 tahun, namun hanya 400 juta pekerjaan dijangka tersedia.
Bank Dunia beri amaran krisis tenaga kerja Thailand, gesa pemerkasaan kemahiran AI
Bank Dunia beri amaran Thailand bakal berdepan krisis tenaga kerja dan menggesa ia mempercepat usaha pemerkasaan kemahiran digital dan AI. (FAIL) / Reuters
16 jam yang lepas

Bank Dunia memberi amaran Thailand bakal berdepan krisis tenaga kerja dalam sedekad akan datang dan menggesa negara itu mempercepat usaha pemerkasaan kemahiran digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi mengekalkan daya saing ekonomi yang mampan.

Pengarah Bank Dunia Bahagian Thailand dan Myanmar Melinda Good berkata walaupun ekonomi global menunjukkan ketahanan dengan pertumbuhan purata 2.7 peratus tahun lalu — melebihi jangkaan awal — faktor seperti ketidaktentuan dasar yang meningkat bertindak sebagai “cukai tersembunyi” yang menjejaskan keputusan pelaburan dan aliran modal.

Katanya, sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada eksport, Thailand tidak terkecuali daripada kesan tersebut, lapor The Nation.

Beliau berkata dunia bakal menyaksikan 1.2 bilion belia memasuki pasaran kerja dalam tempoh 10 tahun, namun hanya 400 juta pekerjaan dijangka tersedia.

Dalam masa sama, Thailand dan kebanyakan negara ASEAN berdepan populasi menua dengan nisbah pekerja kepada pesara diramal 1:2.

Jurang kemahiran, khususnya kekurangan bakat teknologi, dikenal pasti sebagai cabaran utama yang perlu ditangani dengan segera melalui “jambatan kemahiran” bagi meningkatkan kemahiran digital tenaga kerja.

Dalam aspek teknologi, Melinda menegaskan AI, robotik dan pengkomputeran awan kini membentuk semula rantaian bekalan global.

Thailand kini berada di tangga kedua di ASEAN dari segi penggunaan AI, namun masih perlu memberi tumpuan kepada aplikasi dalam sektor pembuatan bagi mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Menurutnya, impak awal terhadap KDNK mungkin kecil tetapi pertumbuhan jangka panjang mampu memberikan kelebihan daya saing yang signifikan.

Beliau turut memberi amaran tentang risiko perubahan iklim yang boleh menyebabkan kerugian kepada ekonomi antara 7 hingga 14 peratus KDNK menjelang 2050 jika tiada tindakan segera diambil.

Lebih 60 peratus penduduk dan perniagaan Thailand terletak di kawasan berisiko banjir, di mana keperluan pelaburan dianggarkan mencecah AS$219 bilion bagi mitigasi risiko.

Mengulas mengenai perpecahan perdagangan global, beliau berkata lebih 400 langkah perlindungan perdagangan baharu diperkenalkan setiap tahun sejak 2020.

Namun, ASEAN berada dalam kedudukan strategik untuk mengurangkan kos perdagangan serantau yang boleh meningkatkan pendapatan Thailand sekitar dua peratus serta menarik pelaburan berkualiti.

Untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, Melinda mencadangkan Thailand memanfaatkan lima sektor utama iaitu pembuatan hijau maju termasuk kenderaan elektrik, perkhidmatan digital, perniagaan tani bernilai tinggi, pelancongan mampan dan industri kreatif.

Katanya, tumpuan kepada inovasi, reformasi kawal selia serta pembangunan modal insan akan menjadi kunci pertumbuhan jangka panjang negara itu.