Polis mengesahkan menerima satu laporan dan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan wujud komplot untuk menjatuhkan kerajaan serta mensabotaj kestabilan negara.
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata siasatan itu tertumpu kepada dakwaan bahawa seorang “individu berpengaruh” tempatan dipercayai bekerjasama dengan sebuah agensi media antarabangsa.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, Seksyen 124B memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen boleh dipenjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai, selaras dengan prinsip keadilan jenayah di negara ini.












