Kemboja menolak dakwaan Menteri Luar Thailand bahawa Kuil Preah Vihear digunakan sebagai pangkalan tentera, sambil menegaskan kedaulatannya ke atas tapak Warisan Dunia itu berdasarkan keputusan muktamad Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), lapor The Phnom Penh Post.
Dalam kenyataan pada 27 Februari, Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus Kemboja “menolak sekeras-kerasnya” kenyataan yang dikaitkan dengan Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, yang mendakwa kuil purba itu telah dijadikan lokasi ketenteraan.
“Kuil Preah Vihear ialah monumen kebudayaan dan keagamaan suci yang mempunyai nilai sejagat luar biasa. Ia tidak pernah ditetapkan, dibangunkan atau digunakan sebagai pangkalan tentera,” menurut kementerian itu.
Kenyataan tersebut merujuk penghakiman ICJ pada 1962 yang mengesahkan kedaulatan Kemboja ke atas kuil berkenaan serta mengarahkan Thailand mengundurkan semua pasukan tentera dan polis dari kawasan itu.
Ia turut merujuk tafsiran ICJ pada 2013 yang menjelaskan bahawa kedaulatan Kemboja meliputi keseluruhan tanjung Preah Vihear.
“Keputusan ini adalah muktamad dan mengikat di bawah Perkara 94 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” tegas kementerian itu.
Sebagai negara pihak kepada Konvensyen Hague 1954 mengenai Perlindungan Harta Kebudayaan ketika Konflik Bersenjata dan Konvensyen Warisan Dunia 1972, Kemboja menegaskan kewajipannya untuk melindungi tapak tersebut bagi tujuan aman, kebudayaan dan keagamaan.
Pentadbiran kuil kekal di bawah pihak berkuasa warisan awam, manakala kehadiran keselamatan adalah terhad kepada tujuan perlindungan.
Kementerian itu turut mendakwa ketegangan memuncak pada 2008 apabila tentera Thailand menceroboh kawasan sekitar berdasarkan tafsiran peta sempadan secara unilateral, sekali gus mencetuskan pertempuran bersenjata yang merosakkan sebahagian monumen.
Ia juga mendakwa operasi ketenteraan baharu oleh pihak Thailand di sepanjang sempadan pada 2025 menyebabkan kerosakan besar terhadap kuil dan kawasan sekitarnya, berdasarkan penilaian awal pihak berkuasa Kemboja.
Kemboja turut memberi amaran bahawa dakwaan yang menafikan keputusan mengikat ICJ boleh mengancam kestabilan serantau.
“Kedaulatan Kemboja ke atas kuil dan tanjungnya telah dimuktamadkan. Kuil Preah Vihear akan kekal sebagai monumen keamanan, budaya dan warisan bersama manusia,” menurut kenyataan itu.












