ASIA
2 min membaca
Anwar: Hormati Bahasa Melayu, perkasakan bahasa Cina sebagai bahasa ekonomi global
Selagi kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati dan tidak dipinggirkan, rakyat Malaysia wajar digalakkan menguasai bahasa lain termasuk bahasa Cina, kata Anwar.
Anwar: Hormati Bahasa Melayu, perkasakan bahasa Cina sebagai bahasa ekonomi global
Anwar Ibrahim semasa menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Huazong 2026. / Foto: Pejabat Perdana Menteri / Other
15 jam yang lepas

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat Cina agar terus memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi serta suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan keamanan, dan tidak terpengaruh dengan kelompok kecil yang gemar menimbulkan perpecahan.

Beliau berkata selagi kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati dan tidak dipinggirkan, rakyat Malaysia wajar digalakkan menguasai bahasa lain termasuk bahasa Cina yang kini muncul sebagai bahasa ekonomi global.

“Apabila kita menghormati bahasa dan budaya orang lain, tiada siapa yang rugi. Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan dan Islam agama Persekutuan, namun semua kaum berhak memajukan bahasa dan budaya masing-masing,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Huazong) di Wisma Huazong, Seri Kembangan, pada Khamis.

Menurutnya, Malaysia unik kerana perayaan setiap kaum diraikan bersama, dan majoriti rakyat menginginkan negara yang aman, progresif serta saling menghormati.

“Jangan biarkan kelompok kecil memainkan sentimen perkauman. Kita mesti menilai suara hati majoriti yang mahukan perpaduan, kemakmuran dan tadbir urus yang baik,” katanya, sambil menegaskan komitmen Kerajaan Madani terhadap prinsip tersebut.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh penguasaan bahasa Cina di institusi pengajian tinggi memandangkan peranannya dalam ekonomi Asia dan global, sambil memastikan Bahasa Melayu terus dimartabatkan.

Dalam pada itu, Anwar memuji penubuhan Muzium Cina Malaysia di Wisma Huazong sebagai langkah penting memahami sumbangan setiap komuniti dalam sejarah perjuangan negara.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dan adil terhadap pihak yang memanipulasi isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) sehingga menggugat keharmonian.

SUMBER:TRT Global