BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
AS kenakan duti awal ke atas import solar dari India, Indonesia dan Laos
Sebelum ini, tarif serupa telah menyebabkan kejatuhan mendadak import dari Malaysia, Vietnam, Thailand, dan Kemboja yang pernah mendominasi pasaran AS.
AS kenakan duti awal ke atas import solar dari India, Indonesia dan Laos
Langkah itu diambil sebagai usaha mengekang kesan subsidi kerajaan di negara-negara Asia yang terlibat. (FAIL) / Reuters
14 jam yang lepas

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat pada Selasa mengumumkan pengenaan duti timbal balas terhadap sel dan panel solar yang diimport dari India, Indonesia, dan Laos.

Langkah itu diambil sebagai usaha mengekang kesan subsidi kerajaan di negara-negara Asia berkenaan yang didakwa menjejaskan daya saing industri domestik AS.

Keputusan itu menyaksikan pegawai perdagangan AS memihak kepada pengeluar solar tempatan yang mendakwa syarikat di ketiga-tiga negara tersebut menerima subsidi tinggi.

Perkembangan ini merupakan siri terbaharu dalam rantaian sekatan perdagangan selama sedekad yang menyasarkan import solar murah dari Asia, yang sebahagian besarnya diterajui oleh syarikat-syarikat China.

Berdasarkan lembaran fakta Jabatan Perdagangan, kadar subsidi am yang dikira adalah sebanyak 125.87% bagi import dari India, 104.38% dari Indonesia, dan 80.67% dari Laos.

Tahun lalu, ketiga-tiga negara itu menyumbang kira-kira AS$4.5 bilion dalam nilai import solar, merangkumi dua pertiga daripada keseluruhan pasaran AS bagi tahun 2025.

Langkah ini menyusul selepas petisyen difailkan oleh Alliance for American Solar Manufacturing and Trade yang mewakili pengeluar utama seperti Hanwha Qcells dan First Solar.

Kumpulan tersebut menyifatkan tindakan itu sebagai langkah penting untuk memulihkan persaingan yang adil dan melindungi pelaburan berbilion dolar dalam sektor pembuatan domestik AS yang kini terancam disebabkan gangguan pasaran.

Walau bagaimanapun, keputusan itu mendapat reaksi dingin daripada pihak yang terkesan.

Matthew Nicely, peguam bagi Solarspace yang berpangkalan di China, menyatakan kekecewaan dan mendakwa kadar yang dikenakan tidak mencerminkan realiti operasi syarikat.

Sebelum ini, tarif serupa telah menyebabkan kejatuhan mendadak import dari Malaysia, Vietnam, Thailand, dan Kemboja yang pernah mendominasi pasaran AS.

Jabatan Perdagangan AS dijangka akan mengeluarkan satu lagi keputusan penting bulan depan bagi menentukan sama ada syarikat dari tiga negara tersebut melakukan aktiviti lambakan harga di bawah kos pengeluaran.

Keputusan muktamad mengenai siasatan duti timbal balas itu dijadualkan akan diumumkan pada Julai depan.

SUMBER:Reuters