PERANG GAZA
2 min membaca
Anwar kecam kritikan terhadap bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza
Beliau menegaskan bantuan tersebut diberikan atas dasar kemanusiaan susulan pelanggaran berterusan perjanjian gencatan senjata serta jenayah kejam yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap penduduk Palestin.
Anwar kecam kritikan terhadap bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza
(FAIL) Anwar berkata Malaysia telah menyalurkan kira-kira RM100 juta bantuan kemanusiaan ke Gaza. / Other
19 Disember 2025

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam pandangan segelintir pihak yang mempertikaikan bantuan kemanusiaan Malaysia kepada Gaza, sambil menyifatkan kritikan itu sebagai ketandusan nilai kemanusiaan, lapor Bernama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sepanjang dua hingga tiga tahun lalu, Malaysia telah menyalurkan kira-kira RM100 juta bantuan kemanusiaan ke Gaza, meskipun pelbagai inisiatif damai telah diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Beliau menegaskan bantuan tersebut diberikan atas dasar kemanusiaan susulan pelanggaran berterusan perjanjian gencatan senjata serta jenayah kejam yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap penduduk Palestin.

“Pelanggaran berterusan, ratusan kali perjanjian dicabuli oleh rejim Israel. Kanak-kanak kecil dan wanita terus dibunuh… kebanyakan masjid dan gereja juga dimusnahkan,” katanya pada Rabu.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia akan terus menyokong Gaza bukan sahaja melalui bantuan kemanusiaan, tetapi juga dengan menggunakan suara politik untuk mempertahankan hak rakyat Palestin.

Beliau turut mendedahkan bahawa ketika berbincang dengan Trump di dalam Cadillac One atau “The Beast” pada akhir Oktober lalu, beliau telah menjelaskan secara berhemah sebab-sebab Malaysia konsisten dalam mempertahankan hak Gaza dan Palestin, sambil menambah bahawa Trump mendengar dengan teliti.

Anwar turut memaklumkan bahawa Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi telah menjemput beliau menghadiri Sidang Kemuncak Pemulihan dan Pembinaan Semula Gaza di Mesir, namun pertemuan itu belum dapat dilaksanakan berikutan kesukaran mendapatkan kehadiran pemimpin dunia Arab dan Islam yang mencukupi pada penghujung tahun.