Malaysia menggesa segala permusuhan antara Thailand dan Kemboja dihentikan segera agar serangan dapat ditamatkan dan penduduk yang terpaksa melarikan diri boleh pulang semula ke rumah masing-masing.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rundingan antara Thailand dan Kemboja masih diteruskan bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.
Beliau berkata Thailand telah memohon penangguhan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang dijadualkan semalam, bagi memberi ruang kepada keadaan di lapangan untuk kembali stabil.
Malaysia, katanya, bersetuju dengan penangguhan tersebut demi memastikan proses diplomatik berjalan lancar.
Menurut Anwar, Malaysia telah menyampaikan rayuan kepada kedua-dua pihak agar menghentikan pertempuran.
“Perkara ini amat kritikal. Saya berhubung dengan mereka hampir setiap hari secara maya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran sebuah buku di Kuala Lumpur.
Beliau mengakui usaha meredakan ketegangan bukanlah mudah, termasuk berhubung cadangan Thailand untuk menyekat eksport bahan api ke Kemboja.
“Kita masih berunding untuk menenangkan keadaan. Ia sememangnya mencabar,” katanya.
Anwar sebelum ini mencadangkan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia bagi memantau situasi di lapangan, selain penggunaan imej satelit yang disediakan Amerika Syarikat untuk menilai pematuhan kedua-dua pihak terhadap gencatan senjata.
Menurut Wisma Putra, Mesyuarat Khas AMM telah ditangguhkan ke 22 Disember dan akan dipengerusikan Menteri Luar Mohamad Hasan, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Phnom Penh menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengelakkan perjalanan tidak penting ke beberapa wilayah di Kemboja sehingga diberitahu kelak.






