Thailand memperketat kawalan ke atas dagangan emas selepas Menteri Kewangannya menandatangani perintah baharu yang memberikan kuasa tambahan kepada bank pusat untuk memantau transaksi.
Menurut laporan media tempatan The Nation, ini merupakan usaha untuk mengekang pengukuhan nilai baht secara berlebihan, yang dilihat mengancam pemulihan ekonomi negara itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Thailand Ekniti Nitithanprapas berkata pindaan peraturan Kementerian Kewangan itu membolehkan Gabenor Bank Negara Thailand menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing, termasuk mewajibkan kedai emas melaporkan transaksi kepada bank pusat.
Menurutnya, langkah itu antara lain menyasarkan dagangan emas melalui aplikasi mudah alih, yang dipercayai memberi kesan langsung kepada pergerakan kadar pertukaran baht.
“Kami sedang mempertimbangkan semua pilihan menggunakan instrumen monetari dan fiskal. Baht yang terlalu kuat akan menjejaskan lagi ekonomi Thailand,” katanya.
Ekniti berkata pengukuhan baht ketika ini sudah melebihi faktor asas ekonomi, sekali gus menekan sektor eksport dan daya saing negara pada saat pertumbuhan ekonomi Thailand masih perlahan sekitar 1.5 hingga 2 peratus, iaitu di bawah potensi sebenar 2.7 peratus.
Selain kawalan emas, beliau turut menubuhkan pasukan petugas “Connect the Dots” yang menghubungkan data Bank of Thailand, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram serta Persatuan Bank Thailand bagi menambah baik kelemahan undang-undang, khususnya dalam pemantauan aset digital.
Gabenor Bank of Thailand Vitai Ratanakorn berkata pihaknya juga telah meningkatkan penelitian terhadap pertukaran wang tunai berskala besar dan mengarahkan bank perdagangan melaporkan transaksi luar biasa setiap hari bagi menjejak aliran wang, termasuk dana haram, yang dipercayai turut menyumbang kepada turun naik nilai baht.






