DUNIA
2 min membaca
Malaysia tidak akan jadi laluan transit dagangan ke Israel: PM
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita sebuah kontena yang membawa barangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.
Malaysia tidak akan jadi laluan transit dagangan ke Israel: PM
(FAIL) Langkah yang diambil Putrajaya selaras dengan komitmen antarabangsa Malaysia di bawah Kumpulan The Hague. / Reuters

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan menjadi laluan transit bagi dagangan yang menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan tindakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita sebuah kontena yang membawa barangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.

Anwar menyuarakan penghargaan kepada pihak berkuasa atas ketegasan yang ditunjukkan dalam menegakkan dasar kerajaan.

Beliau menegaskan operasi tersebut menterjemahkan komitmen berterusan Putrajaya dalam mengekang sebarang bentuk hubungan dagangan tidak langsung dengan rejim ganas itu.

"Tahniah AKPS atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas. Tindakan ini membuktikan ketegasan Malaysia untuk memastikan negara kita tidak sekali-kali menjadi laluan kepada dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin," kata Perdana Menteri.

Langkah tersebut dilihat selaras dengan komitmen antarabangsa Malaysia di bawah Kumpulan The Hague.

Ia juga menguatkuasakan semula larangan penuh yang diperkenalkan sejak Disember 2023, yang menghalang kapal yang mengibarkan bendera Israel serta kapal yang membawa muatan ke negara penjajah itu daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

"Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Kumpulan The Hague serta larangan yang telah berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap kapal Israel dan kapal yang membawa muatan ke Israel daripada menggunakan pelabuhan negara. Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin," tambah beliau.

SUMBER:TRT Global