DUNIA
1 min membaca
Malaysia solidariti bersama Poland, kedutaan pantau keadaan susulan kejadian tembakan
Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi membendung ekstremisme serta mempertahankan keamanan dan maruah manusia.
Malaysia solidariti bersama Poland, kedutaan pantau keadaan susulan kejadian tembakan
Malaysia solidariti bersama Poland, kedutaan pantau keadaan susulan kejadian tembakan. / Reuters

Malaysia menzahirkan solidariti bersama Poland susulan kejadian tembakan di Kraków yang meragut enam nyawa, sementara Kedutaan Malaysia di Warsaw memantau keadaan serta berhubung dengan rakyat Malaysia di bandar itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang cederea sembuh dengan segera.

“Malaysia berdiri bersama rakyat Poland dan menyampaikan ucapan takziah yang tulus kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anwar menyifatkan laporan bahawa penyerang dipengaruhi ekstremisme berhaluan kanan sebagai amat membimbangkan.

Beliau menegaskan tragedi itu menunjukkan keperluan menangani keganasan dalam semua bentuk, termasuk ancaman ekstremisme ganas berhaluan kanan yang semakin meningkat.

“Tiada ideologi yang boleh membenarkan pembunuhan orang tidak bersalah,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi membendung ekstremisme serta mempertahankan keamanan dan maruah manusia.

Dalam notis berasingan, Kedutaan Malaysia di Warsaw berkata kejadian berlaku di Dataran Pasar Utama Kraków pada 7 November.

Kedutaan terus menghubungi rakyat Malaysia bagi memastikan keselamatan mereka dan menggalakkan rakyat Malaysia di Poland mendaftarkan maklumat diri dengan kedutaan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi +48 22 617 4413 pada waktu pejabat atau pegawai bertugas di +48 660 627 360, serta melalui e-mel mwwarsaw@kln.gov.my.

SUMBER:TRT Global