Malaysia menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati Myanmar telah melakukan genosid terhadap komuniti minoriti Rohingya.
Keputusan bersejarah itu menandakan kali pertama mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan bahawa sesebuah negara telah melakukan jenayah genosid.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Malaysia memaklumkan bahawa dapatan ICJ sejajar dengan pendirian konsisten negara dalam usaha melindungi golongan rentan dan terdedah kepada penindasan.
Menurut kementerian itu, Malaysia akan terus menyokong usaha ke arah penyelesaian yang menyeluruh dan mampan bagi menangani krisis Rohingya yang berpanjangan.
“Malaysia akan terus memperjuangkan penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan terhadap krisis yang berlarutan ini, termasuk berinteraksi secara aktif dengan semua pihak berkepentingan bagi melaksanakan langkah-langkah konkrit untuk meringankan penderitaan komuniti Rohingya yang berlindung di negara ini,” menurut kenyataan tersebut.
Sehingga 30 September lalu, seramai 133,400 pelarian dan pencari suaka Rohingya telah berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.
Pada masa sama, sebanyak 6,294 individu Rohingya ditempatkan di depot tahanan imigresen setakat 31 Oktober, menurut data rasmi yang dipetik dalam kenyataan itu.















