Malaysia tidak boleh mengambil mudah kedudukannya sebagai negara perdagangan ketika tarif, kawalan eksport serta sekatan terhadap cip dan mineral kritikal semakin digunakan sebagai instrumen tekanan dalam perdagangan global, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu amat penting bagi Malaysia memandangkan negara ini mempunyai hubungan yang rapat dengan rantaian bekalan global, khususnya dalam industri semikonduktor.
“Bagi sebuah negara yang bergantung pada perdagangan seperti Malaysia, dengan kilang-kilang yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan cip dunia, perkara ini bukan sekadar pertimbangan teori.
“Bagi sebuah negara perdagangan, tiada jaminan bahawa kedudukan itu akan kekal selama-lamanya,” katanya.
Anwar berkata, perubahan landskap perdagangan global mengukuhkan keperluan bagi negara-negara memperkasakan institusi pelbagai hala dan antarabangsa demi memastikan tadbir urus ekonomi global yang lebih adil.
Beliau berkata, negara-negara tidak boleh terus memperjuangkan demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan ekonomi sedangkan negara berkuasa besar masih keberatan untuk melakukan pembaharuan terhadap institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Negara-negara Selatan Global, menerusi BRICS dan pelbagai inisiatif baharu lain, sedang berusaha menunjukkan keperluan untuk menterjemahkan jumlah mereka yang besar kepada pengaruh yang setimpal,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia setakat ini berjaya mengharungi persekitaran global yang semakin bergolak dengan mengekalkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara Barat serta Timur.
Menurut beliau, Malaysia mendapat manfaat daripada pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) serta Eropah, di samping mengekalkan hubungan erat dengan China dan rakan serantau, termasuk Korea Selatan, Jepun dan India.
“Bukan mudah untuk mengemudi keadaan ini sambil mengekalkan keseimbangan,” katanya.
Anwar berkata, pendekatan Malaysia turut diperkukuh menerusi kedudukannya dalam ASEAN, yang menyaksikan negara-negara rantau ini secara umumnya berusaha menyelesaikan perbezaan melalui rundingan, selain mengutamakan pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa konsep Pemusatan ASEAN perlu diterjemahkan kepada keupayaan dan pengaruh rantau ini untuk mencorakkan perkembangan global, bukannya sekadar menjadi platform penganjuran mesyuarat.
























