DUNIA
2 min membaca
Ahmad Zahid tiba di Istanbul untuk lawatan kerja empat hari
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istanbul bagi lawatan kerja selama empat hari yang merangkumi penyertaan dalam Forum TRT World 2026, siri pertemuan diplomatik serta kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Türkiye.
Ahmad Zahid tiba di Istanbul untuk lawatan kerja empat hari
Ahmad Zahid Hamidi semasa lawatan rasmi ke Istanbul, Türkiye. / Foto: FB/ZahidHamidi

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi tiba Istanbul pada Khamis bagi memulakan lawatan kerja selama empat hari ke Türkiye yang dijadual berakhir pada 8 November, menurut laporan BERNAMA.

Beliau yang turut diiringi isteri, Hamidah Khamis, tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) dengan menaiki pesawat khas.

Pada Jumaat, Ahmad Zahid dijadual menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Türkiye, Prof Dr Erol Ozvar, sebelum menghadiri majlis perasmian Forum TRT World 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC).

Majlis perasmian forum berkenaan akan disempurnakan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut dijadual menyertai sesi panel bertajuk “Türkiye: From Regional Power to Multi-Regional Actor” bersama beberapa tokoh lain.

Forum TRT World 2026 yang mengangkat tema “A World Without a Centre: Who Leads When the Rules Run Out?” menghimpunkan pemimpin politik, pembuat dasar, ahli akademik, pengamal media serta wakil masyarakat sivil dari seluruh dunia bagi membincangkan isu-isu utama global.

Pada 7 November, Ahmad Zahid dijadual menyampaikan syarahan di Universiti Ibn Haldun serta mengadakan perbincangan dengan Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) mengenai isu geopolitik dan geoekonomi semasa.

Jadual lawatan beliau turut merangkumi pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Lubnan, Tarek Mitri, selain menyaksikan majlis pertukaran surat kerjasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Universiti Sabanci dan Universiti Teknikal Yildiz. 

Majlis itu akan turut disertai 17 pelajar tajaan MARA yang sedang melanjutkan pengajian di Türkiye. Malaysia dan Türkiye telah menjalin hubungan diplomatik sejak 17 Jun 1964 serta mengekalkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, perdagangan dan pendidikan.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kini mencecah AS$5.6 bilion, dengan sasaran untuk meningkatkannya kepada AS$10 billion dalam tempoh lima tahun.