DUNIA
2 min membaca
Erdogan bangkitkan prinsip 'pacta sunt servanda' berhubung Gaza, kecam keganasan peneroka Israel
Presiden Türkiye berkata perkembangan serantau menunjukkan sistem antarabangsa telah mengibarkan "bendera putih tanda menyerah kalah".
Erdogan bangkitkan prinsip 'pacta sunt servanda' berhubung Gaza, kecam keganasan peneroka Israel
Presiden Türkiye berkata perkembangan serantau menunjukkan sistem antarabangsa telah mengibarkan "bendera putih tanda menyerah kalah". / َAA

Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata perkembangan terkini di rantau itu menunjukkan bahawa sistem antarabangsa sedia ada telah "mengibarkan bendera putih tanda menyerah kalah", sambil menuduh institusi antarabangsa hanya berpeluk tubuh ketika keganasan Israel masih berterusan di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Pada Jumaat, Erdogan memberi amaran bahawa sistem antarabangsa semakin gagal mempertahankan keamanan dan keselamatan.

Berucap pada majlis perasmian Forum TRT World 2026 di Pusat Kongres Istanbul, Erdogan berkata:

"Keganasan peneroka haram yang bertujuan mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah air warisan nenek moyang mereka semakin berleluasa dan berani dilakukan setiap hari, ketika dunia moden hanya memandang tanpa mengambil peduli."

Pacta sunt servanda

Beliau berkata institusi antarabangsa yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan sekali lagi "hanya memerhati dari luar" ketika kekejaman berlaku di Gaza, seperti yang pernah berlaku di Rwanda, Srebrenica dan banyak tempat lain.

"Malangnya, Perjanjian Damai Gaza yang turut kami bantu rundingkan masih belum dilaksanakan," kata Erdogan.

Sambil menegaskan bahawa prinsip "pacta sunt servanda", yang menjadi asas hubungan antarabangsa, tidak dipatuhi, Erdogan berkata, "Semua pihak mesti memahami bahawa tiada masalah dapat diselesaikan dengan cara ini."

Presiden Türkiye itu berkata norma dan prinsip yang menjadi asas pembentukan sistem antarabangsa "sedang dipijak-pijak pada hari ini".

Erdogan turut berhujah bahawa krisis dunia ketika ini tidak boleh ditangani menggunakan pendekatan lapuk.

"Kita tidak boleh menyelesaikan masalah hari ini dengan kaedah semalam," katanya.

Dunia yang Tidak Lagi Berpusat

Ketika memulakan ucapannya pada Forum TRT World yang bertemakan "A World Without a Centre” (Dunia yang Tidak Lagi Berpusat) tahun ini, Erdogan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan TRT atas penganjuran forum berkenaan, yang disifatkannya sebagai acara unggul penyiar itu.

Beliau berkata TRT telah menyediakan perkhidmatan penyiaran yang berprinsip dan bertanggungjawab selama lebih 60 tahun menerusi platform konvensional serta digital.

Erdogan turut berharap perbincangan dalam forum itu akan "membuka ufuk pemikiran baharu" dan mesej yang disampaikan dapat menyumbang kepada kestabilan serta keamanan global, khususnya di wilayah yang penduduknya sedang mengalami penderitaan dan penindasan.

SUMBER:َAA