Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang bakal berlangsung akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog terus kekal sebagai salah satu wahana utama dalam menjamin keamanan serta memperluas akses bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Beliau berkata, pertemuan itu akan memperkukuh usaha melonjakkan suara keadilan dan keamanan ke pentas antarabangsa yang lebih meluas.
“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman, serta akan menjadi ruang untuk suara untuk keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan doa agar semua sukarelawan Malaysia serta pasukan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang kini dalam pelayaran ke Gaza sentiasa berada dalam lindungan Tuhan.
Beliau mengulangi komitmen kerajaan dalam mendukung misi tersebut dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan segera kepada rakyat Gaza.
“Kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan dan apa yang utama adalah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak, dan dijangka akan mula memasuki zon merah pada esok hari.
“Ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turkiye, Itali, dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga. Hubungan akrab dan langsung yang kita terus kekalkan dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global,” katanya.
Anwar berkata, 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi ini akan terpahat dalam sejarah sebagai pejuang keadilan dan membela kemanusiaan.
“Justeru, hari-hari yang mendatang ternyata mencabar. Musuh mungkin menggertak, menyerang. Namun, kekentalan semangat saudara-saudara di lautan inilah yang meleraikan resah dan menyala harapan,” tambahnya lagi.
Perdana Menteri turut mengajak rakyat Malaysia terus berdoa agar usaha ini dilindungi Allah serta menjadi sinar kepada penamatan kezaliman dan permulaan era dunia yang lebih aman dan adil.
“Ia pastinya menjadi detik pensejarahan yang penting serta permulaan kepada era dan order baharu dunia yang lebih aman dan yang mampu menjamin keadilan.”