Malaysia menegaskan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti bertindak tegas dengan mengenakan sekatan terhadap rejim Zionis Israel, sambil menyifatkan kekejaman berterusan rejim itu di Asia Barat sebagai ancaman terhadap keamanan sejagat.
Menteri Luar Mohamad Hasan ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025 di New York, berkata serangan Israel ke atas Doha, Qatar bukan sekadar menyasarkan beberapa wakil Hamas, tetapi turut mencabul kedaulatan sebuah negara dan menghina semua usaha damai.
“Keadaan ini memberi isyarat bahawa keganasan Israel akan terus mengancam kestabilan rantau ini, dan kesannya pasti akan dirasai seluruh dunia. Kekejaman ini mungkin bermula di Palestin, namun tidak akan berakhir di sana,” katanya.
Mohamad menegaskan bahawa hanya menyeru kepada penyelesaian dua negara tidak lagi mencukupi, sebaliknya tindakan konkrit mesti diambil terhadap kuasa pendudukan, termasuk sokongan jangka panjang bagi membangunkan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Beliau turut menzahirkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong rakyat Palestin melalui pelbagai inisiatif, termasuk Deklarasi New York, sambil menegaskan bahawa ujian terhadap PBB kini adalah kewujudannya — lapan dekad selepas penubuhannya, dunia masih gagal menamatkan pembersihan etnik terhadap Palestin.
Dalam ucapannya, Mohamad turut menggesa pembaharuan menyeluruh terhadap PBB agar kekal relevan dan berkesan, termasuk mengehadkan atau memansuhkan kuasa veto, memulangkan semula kuasa kepada Perhimpunan Agung, serta memperbaharui mekanisme kewangan global yang lebih adil bagi negara Selatan.
“Setiap kali kuasa veto digunakan untuk melindungi jenayah terhadap kemanusiaan, kita mesti menentangnya. Dunia tidak boleh terus berdiam diri. Majlis Keselamatan mesti dibebaskan daripada kebuntuan yang memalukan ini,” tegasnya.