PERANG GAZA
2 min membaca
Malaysia kecam ancaman terhadap Global Sumud Flotilla
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menegaskan laluan selamat tanpa halangan mesti dijamin untuk kapal dan peserta misi kemanusiaan itu.
Malaysia kecam ancaman terhadap Global Sumud Flotilla
GSF merupakan misi aman yang membawa bantuan segera ke Gaza, termasuk ubat-ubatan dan makanan untuk bayi. / TRT Balkan
25 September 2025

Malaysia dengan mengecam tindakan yang mengancam keselamatan Global Sumud Flotilla (GSF) pada 23 September lalu, sekali gus menuntut agar segala bentuk ancaman keganasan dihentikan serta-merta.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menegaskan laluan selamat tanpa halangan mesti dijamin untuk kapal dan peserta misi kemanusiaan itu.

GSF merupakan misi aman yang membawa bantuan segera ke Gaza, termasuk ubat-ubatan dan makanan untuk bayi, di tengah-tengah genosid serta kebuluran yang berlarutan.

Malaysia menegaskan misi tersebut adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa dan amat penting untuk dunia meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Sehingga kini, seramai 34 peserta Malaysia yang menyertai flotilla dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Malaysia menegaskan sokongan padu terhadap Palestin dan sekali lagi menggesa agar pembunuhan beramai-ramai serta sekatan haram Israel ke atas Gaza ditamatkan dengan segera.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Israel menghalang misi kemanusiaan antarabangsa itu sebagai tidak boleh diterima.

Beliau menegaskan sokongan penuh Malaysia terhadap GSF dan menyatakan harapan agar bantuan tersebut sampai kepada penduduk Gaza.

“Saya amat kesal dengan jenayah berterusan Israel. Apakah penghantaran ubat-ubatan dan makanan bayi untuk mereka yang kebuluran juga harus dihalang? Jelas hanya Israel yang mengenakan halangan ini, dan kita mengecamnya dengan sekeras-kerasnya,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas lawatan rasmi dua hari ke Timor Leste.

Anwar menegaskan bahawa sokongan Malaysia untuk flotilla itu adalah semata-mata kerana sifatnya yang bersih daripada agenda politik dan berlandaskan prinsip kemanusiaan sejagat.

SUMBER:TRT Global