Tentera Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF) pada Rabu ketika ia menghampiri Gaza dalam usaha memecah sekatan, kurang sejam selepas kapal bantuan itu melaporkan melihat lebih 20 kapal yang tidak dikenali yang berada tiga batu nautika di hadapan armada tersebut.
Kapal-kapal tersebut, yang membawa bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan mula belayar pada akhir Ogos dan dijadualkan tiba di Gaza pada pagi Khamis.
GSF merupakan misi pelayaran keempat menuju ke Gaza tahun ini, selepas cubaan terdahulu oleh flotila Break the Siege ‘Conscience’, Madleen, dan Handala.
Pelayaran GSF ini berjaya melepasi lokasi di mana misi Madleen dipintas sebelum ini.
Sepanjang misi, penganjur menyeru kerajaan-kerajaan dan orang ramai di seluruh dunia untuk memantau pergerakan flotila melalui penjejak dan siaran langsung serta mendesak aktivis di atas kapal tersebut dilindungi.
Tiada butiran lanjut diterima setakat ini mengenai nasib kapal-kapal tersebut atau kemungkinan ditahan atau dihalang.
Israel memperketat sekatan ke atas Gaza pada 2 Mac dengan menutup semua lintasan sempadan serta menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan, sekali gus menyebabkan kebuluran walaupun sejumlah besar lori yang membawa bekalan bantuan masih menunggu di sempadan.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 66,100 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pengeboman berterusan itu menjadikan wilayah tersebut tidak lagi sesuai didiami dan menyebabkan kebuluran serta penularan penyakit.