Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji keberanian aktivis yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), menyifatkannya sebagai simbol keteguhan solidariti dunia terhadap rakyat Palestin dan penentangan terhadap pendudukan rejim Zionis.
Beliau berkata kehadiran rakyat Malaysia dalam misi tersebut mencerminkan komitmen negara terhadap keadilan sejagat yang melangkaui sempadan bangsa dan wilayah.
“Tindakan berani para aktivis dalam flotila ini menandakan pendirian tegas menentang penindasan, selain menunjukkan solidariti luar biasa terhadap rakyat Gaza. Penyertaan aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia menegaskan tanggungjawab kolektif dunia dalam menentang keganasan dan penindasan, serta memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin,” katanya ketika berucap di World Social Security Forum (WSSF) di Kuala Lumpur pada Isnin.
Anwar menegaskan bahawa kecaman berterusan Malaysia terhadap penjajahan Zionis dan dasar penempatan haram di Palestin adalah bukti komitmen berprinsip kerajaan terhadap keadilan.
“Keberanian mereka menjadi lambang bahawa keadilan sejati tidak mengenal sempadan. Solidariti dalam gerakan sosial adalah asas penting dalam menegakkan nilai kemanusiaan,” katanya.
Menurut beliau, sebarang perbincangan mengenai keselamatan sosial dunia tidak boleh dipisahkan daripada realiti penindasan yang berlaku hari ini.
“Kita mesti berani berdepan ketidakadilan sistemik ini. Kegagalan bersuara terhadap kekejaman menjadikan perbincangan tentang keselamatan sosial sekadar retorik kosong,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa pembunuhan beramai-ramai oleh Israel terhadap rakyat Palestin menuntut kecaman tanpa kompromi.
“Kekejaman ini bukan sekadar isu politik tetapi merupakan pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia yang menjejaskan keselamatan sosial global,” tegasnya.
Sementara itu di Sepang, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Sani Araby Abdul Alim memaklumkan kesemua 34 wakil Malaysia yang menyertai misi GSF berada dalam keadaan sihat semasa pelayaran mereka memasuki “zon kuning” pada Isnin, menurut laporan Bernama.
Beliau berkata enam rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Johnny M — yang dilaporkan mengalami kebocoran dan kerosakan teknikal — telah dipindahkan dengan selamat ke kapal lain dengan bantuan Turkiye.
Menurut Sani, kapal itu kini berfungsi sebagai kapal pemerhati dan tidak lagi dapat meneruskan pelayaran. Ini menjadikan jumlah kapal yang meneruskan pelayaran sebanyak 46.
Beliau menambah, flotila dijangka memasuki “zon merah” pada Khamis semasa berada kira-kira 366 batu nautika dari pesisir Gaza.
“Tiada laporan aktiviti dron semalam dan semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan baik,” ujarnya sambil menafikan laporan kononnya kapal Malaysia terbakar.
Sani turut menasihatkan semua pihak supaya hanya merujuk kepada pusat arahan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) bagi mengelak penyebaran maklumat palsu.
“Maklumat tidak sahih hanya akan menguntungkan propaganda Zionis,” katanya.
Misi GSF membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan bagi menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.
Malaysia merupakan negara pertama yang mengiktiraf misi ini hasil sokongan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.