Malaysia akan mengemukakan bantahan keras sekiranya kapal bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dihalang atau dirampas oleh Israel, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, usaha diplomatik akan digerakkan dengan pelbagai negara, termasuk kuasa-kuasa besar dunia, bagi memastikan misi tersebut tidak dihalang dan suara rakyat Palestin terus didengari.
“Kita akan mengemukakan bantahan secara keras dan menyeluruh, dan saya akan sedaya upaya menghubungi semua rakan-rakan, termasuk negara-negara yang telah mengemukakan usul (damai) baru-baru ini — khususnya Itali, Sepanyol dan Turkiye, dengan sokongan dari China.
“Kemudian kita lihat keupayaan, ikhtiar yang dikemukakan oleh Perancis dan Arab Saudi yang juga kita hubungi kerana mereka mahu usulkan pendamaian” katanya selepas melawat Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Sepang, Selangor.
Perdana Menteri turut menegaskan keperluan menjalin hubungan erat dengan negara-negara Barat, Arab serta kuasa besar lain, termasuk Amerika Syarikat, agar suara rakyat Palestin dapat diperjuangkan di peringkat global.
“Saya harap rakan-rakan dalam perjuangan ini tidak terpengaruh dengan celoteh-celoteh kita di sini, kerana mereka memahami makna rundingan dan tuntutan untuk pemimpin dunia — khususnya Amerika Syarikat — menerima kenyataan serta tuntutan masyarakat dunia,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti dapat membawa hasil konkrit ke arah penyelesaian menyeluruh terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Kerajaan, katanya, juga akan membantu keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara sepanjang misi tersebut.
Anwar turut menzahirkan rasa kagum terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta Malaysia dalam usaha menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.
“Kita akan terus memberikan apa sahaja yang diperlukan — kepada sahabat kita di lapangan mahupun keluarga mereka di tanah air,” katanya.